Khamis, 16 Mei 2019 | 8:49pm
PEMAIN Selangor, Taylor Francis George Regan (tengah) menanduk bola ke gawang pasukan Kedah pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff.

'Ayuh bangkit Helang Merah'

SHAH ALAM: Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak dihimpit perasaan suka dan duka selepas menyaksikan Helang Merah tewas 3-1 kepada Selangor di Stadium Shah Alam, semalam.

Keputusan itu bukan saja menyaksikan Kedah pulang tangan kosong malah kehilangan tempatnya di tangga ketiga Liga Super yang dirampas Red Giant yang kini mengumpul 21 mata.

"Seperti saya katakan, bukan tugas mudah untuk datang ke Stadium Shah Alam dan menentang pasukan seperti Selangor. Kami perlu ucapkan tahniah kepada mereka (Selangor).

"Di babak kedua, pemain pamer kebangkitan dan kekal positif. Namun kami tidak bernasib baik termasuk dia percubaan yang terkena palang. 

"Apa pun, ini bukannya penghujung buat segala-galanya dan kami perlu bangkit. Saya yakin pemain juga mahu pergi ke tempat yang mereka inginkan," katanya selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, bintang import baharu Selangor,  Ifedayo Olusegun Omosuyi muncul wira apabila melakar hatrik pada penampilan pertamanya dengan meledak gol pada minit ke-34, 44 dan 57. 

Jaringan tunggal Kedah dijaringkan Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-67.

"Paling penting pemain sudah berikan apa yang mereka ada. Kesilapan adalah perkara normal malah boleh berlaku di pertandingan tertinggi. Saya gembira dengan kesungguhan yang pemain tunjukkan dan sebagai jurulatih, saya  ambil tanggungjawab atas keputusan ini," katanya.

Berita Harian X