Khamis, 16 Mei 2019 | 11:19pm
KAPTEN England, Harry Kane.

England senarai Kane bagi aksi Liga Negara-Negara

LONDON: Kapten England, Harry Kane disenaraikan Gareth Southgate dalam skuad sementara bagi aksi Liga Negara-Negara sekali pun penyerang Tottenham itu sedang bergelut untuk cergas.

Kane tidak beraksi sejak mengalami kecederaan ligamen buku lali ketika Tottenham melawan Manchester City bagi aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara pada 11 April lalu.

Begitupun, dia berharap untuk cergas bermain ketika Spurs bakal mengharungi aksi final Liga Juara-Juara menentang Liverpool pada 1 Jun ini.

“Dia jelas sedang bekerja keras untuk cergas untuk mereka (Tottenham) bagi aksi final. Kita perlu melihat perkembangan itu,” kata Southgate.

“Jelas dia adalah pemain yang kami mahu berikan semua peluang. Rekod jaringannya untuk kami cukup menakjubkan dan dia adalah kapten pasukan. Kita akan biarkan pintu itu terbuka dan kami akan lihat bagaimana perkembangannya.”

England akan berdepan Belanda bagi peringkat separuh akhir Liga Negara-Negara di Guimaraes, Portugal, 6 Jun ini.

Southgate memiliki masa yang singkat untuk melakukan persediaan bagi perlawanan berkenaan dengan kebanyakan pemainnya datang dari Liverpool, Spurs selain Chelsea dan Arsenal yang turut akan bersaing dalam final Liga Europa.

Pemain daripada keempat-empat pasukan tidak akan menyertai pasukan sebelum 3 Jun.

“Selepas final Liga Juara-Juara kami akan membuat penilaian terhadap semua orang,” kata Southgate. “Ada aspek fizikal dalam perlawanan itu, kemudian emosi yang merudum.”

Pemain Southampton, Nathan Redmond menjadi pemain baharu yang berada dalam senarai sementara 27 pemain Southgate manakala dua pemain Chelsea, Ruben Loftus-Cheek dan Callum Hudson-Odoi tidak disenarai susulan kecederaan. - AFP

Senarai skuad England

Penjaga gol

Jack Butland (Stoke City), Jordan Pickford (Everton), Tom Heaton (Burnley)

Pertahanan

Trent Alexander-Arnold, Joe Gomez (both Liverpool), Ben Chilwell, Harry Maguire (both Leicester City), Michael Keane (Everton), John Stones, Kyle Walker (both Manchester City), Danny Rose, Kieran Trippier (both Tottenham Hotspur)

Tengah

Dele Alli, Eric Dier, Harry Winks (all Tottenham Hotspur), Jordan Henderson (Liverpool), Ross Barkley (Chelsea), Declan Rice (West Ham), Fabian Delph (Manchester City), Jesse Lingard (Manchester United), James Ward-Prowse, Nathan Redmond (both Southampton) 

Penyerang

Marcus Rashford (Manchester United), Jadon Sancho (Borussia Dortmund/GER), Harry Kane (Tottenham Hotspur), Callum Wilson (Bournemouth), Raheem Sterling (Manchester City)

Berita Harian X