Selasa, 21 Mei 2019 | 8:43am

Arsenal sedia jual pemain degil

LONDON: Arsenal menetapkan polisi perpindahan baharu musim panas ini bagi mengelak kelab menanggung kerugian apabila pemain pindah ke kelab lain secara percuma.

Menerusi polisi baharu itu, The Gunners sedia melepaskan mana-mana pemain yang masih memiliki baki kontrak dua tahun bagi mengelak kerugian seperti dialami mereka ketika melepaskan Aaron Ramsey, Danny Welbeck, Alexis Sanchez dan Jack Wilshere yang melangkah keluar tanpa yuran perpindahan.

Pengarah Urusan Arsenal, Vinai Venkatesham berkata, kelab perlu mengambil langkah lebih tegas bagi mengelak situasi sama berulang pada masa depan.

Menurutnya, polisi baharu itu menetapkan mana-mana pemain yang berbaki kontrak dua tahun perlu membaharui kontrak, jika enggan mereka akan terus dijual.

Ini bermakna lapan pemain Arsenal yang masih memiliki kontrak dua tahun perlu segera membaharui kontrak atau berdepan tindakan dijual.

Antara pemain terbabit termasuk Pierre-Emerick Aubameyang, Mesut Ozil, Henrikh Mkhitaryan dan Laurent Koscielny. 

Venkatesham juga mengakui Arsenal perlu lebih kreatif dengan pasaran semasa kali ini.

“Kami menjual pemain kerana kami mahu memaksimumkan tabungan kelab untuk kegunaan pelaburan semula ke atas pasukan.

“Kami perlu mengambil langkah dengan penuh disiplin ke atas setiap pemain lama, ini bermakna kami perlu mengambil langkah sukar ke atas setiap pemain yang berbaki dua tahun kontrak. Kami sama ada akan membaharui kontrak mereka ataupun menjual mereka.

“Kami perlu lebih berani membuat keputusan kerana kami tidak boleh berdepan situasi apabila pemain melangkah keluar dengan percuma kecuali mereka menamatkan karier bersama kami hingga habis kontrak. – Agensi 

Berita Harian X