Selasa, 21 Mei 2019 | 3:43pm
PEMAIN tengah FELDA United, Daniel Amier Norhisham (kiri) masih menjalani tempoh pemulihan. - Foto FB Daniel Amier

Nidzam lega pemain utama FELDA pulih

KUANTAN: Pengendali FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil mengharapkan semua barisan pemain utamanya dapat disenaraikan apabila bertandang ke Stadium Darul Makmur bertemu skuad Tok Gajah, pada Sabtu ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, beberapa pemain utama yang dihimpit masalah kecederaan sebelum ini sudah pulih dari dan dijangka tiada masalah untuk kembali membantu memantapkan skuad The Fighters.

"Setakat ini, Hadin Azman yang juga kapten pasukan dan penyerang import, Khairul Amri Mohd Kamal sudah pulih dari kecederaan.

"Jasazrin (Jamaluddin) yang sebelum ini cedera juga sudah mula turun menjalani latihan dengan rakan sepasukan lain dan dijangka boleh beraksi. Cuma, Daniel Amier (Norhisham) yang masih menjalani tempoh pemulihan," katanya.

Mohd Nidzam berkata, pada perlawanan berdepan Terengganu FC (TFC) pada Sabtu lalu, Hadin beraksi selama 40 minit dan beliau berpuas hati dengan prestasinya.

"Walaupun baru pulih, dia mempamerkan prestasi terbaik dan percaya akan membantu pasukan apabila bertemu Pahang nanti," katanya.

Ketika ini, skuad The Fighters terdesak untuk mengutip mata bagi memperbaiki kedudukan di tangga tercorot liga.

Dengan berbaki lapan perlawanan, Mohd Nidzam tidak boleh terlepas sebarang mata ketika pasukan lain turut berusaha memperbaiki kedudukan.

Berita Harian X