Rabu, 22 Mei 2019 | 12:32pm
GAMBAR fail, pemain FELDA United, Muhammad Hadin Azman meraikan jaringan gol kedua pada aksi Piala FA Malaysia 2019 antara Selangor menentang Felda United di Stadium Shah Alam pada 16 April lalu. - Foto Roslin Mat Tahir

Hadin tidak sabar jumpa Tok Gajah

 

KUANTAN: Kapten FELDA United, Hadin Azman yang baru pulih daripada kecederaan lutut kiri sudah sedia berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.  

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu yang diturunkan sebagai pemain gantian ketika The Fighters seri 1-1 berdepan Terengganu FC (TFC) Sabtu lalu, tidak mahu terlepas aksi bertemu skuad Tok Gajah.  

"Saya bersyukur selepas sebulan tidak beraksi dan diberi peluang bermain selama 40 minit bertemu TFC, saya rasa yakin untuk kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama.  

"Ini kerana kami amat memerlukan mata untuk tidak terlalu jauh ketinggalan dengan pasukan seperti PKNS FC dan PKNP FC yang berada di kedudukan ke-10 dan 11 liga.  

"Namun, terpulang kepada percaturan jurulatih (Mohd Nidzam Jamil) kerana saya baru saja kembali dalam pasukan," kata pemain berumur 25 tahun itu.  

Ditanya prestasi tidak konsisten skuad Tok Gajah, Hadin berkata, ia tidak boleh dijadikan ukuran bahawa lawannya itu tidak berada pada prestasi terbaik.  

Justeru, katanya, The Fighters perlu bekerja keras dan meningkatkan prestasi terutama dalam aspek persefahaman dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan.  

"Jentera serangan juga diberi perhatian untuk merobek gawang Pahang. Kembalinya Khairul Amri yang baru pulih daripada kecederaan bahu kiri juga diyakini dapat membantu menajamkan jentera hadapan pasukan," katanya.  

FELDA United kini berada di dasar liga kian terdesak untuk mengutip mata bagi mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.  

Selepas 14 perlawanan, skuad kendalian Mohd Nidzam mengutip sembilan mata iaitu hanya satu kemenangan, enam seri dan tujuh kekalahan.

Berita Harian X