Khamis, 23 Mei 2019 | 7:19am

Arsenal cukup 'peluru' dapatkan sasaran terbaik

LONDON: Arsenal ada cukup “peluru” untuk menandatangani sasaran perpindahan tanpa mengambil kira sama ada mereka layak ke Liga Juara-Juara kata ketua bola sepaknya, Raul Sanllehi.

Skuad kendalian Unai Emery akan menempah tiket ke kejohanan utama Eropah musim depan jika mengetepikan Chelsea pada final Liga Europa dekat Baku pada 29 Mei.

Selepas gagal berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana, perlawanan di Azerbaijan itu adalah harapan terakhir Arsenal menamatkan tempoh dua tahun tidak beraksi dalam kejohanan utama Eropah itu.

Beraksi dalam Liga Juara-Juara akan menjadi tarikan utama pemain untuk berhijrah ke Stadium Emirates tetapi Sanllehi yakin perancangan kelab boleh memberikan perpindahan bagus walaupun mereka tewas kepada tetangga London itu.

Ketika temubual dengan Arsenal Media bersama pengarah urusan Vinai Venkatesham, Sanllehi mendedahkan bagaimana Gunners akan terus dibina selepas pemergian Danny Welbeck, Aaron Ramsey dan Petr Cech.

“Apa yang saya boleh beritahu ialah kami sudah mengenalpasti dengan sangat jelas bersama ketua jurulatih dan staf teknikal, kami tahu apa yang kami perlu utamakan dan keutamaan itu sangat jelas,” kata Sanllehi.

“Kami sudah berada di pasaran dan kami sudah berbincang dengan mereka yang boleh membantu kami mengatasi masalah di posisi itu dan saya rasa ia agak kuat.

“Ia berjalan lancar dan imej dimiliki Arsenal dalam dunia bola sepak sangat kuat.” - AFP

Berita Harian X