Jumaat, 24 Mei 2019 | 7:17am
PENYOKONG Montenegro. - Foto AFP
STADIUM Podgorica City.

Montenegro kena beraksi dalam stadium kosong

ZURICH: Montenegro gagal dalam rayuannya yang diperintahkan beraksi dalam stadium kosong oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) susulan gelagat perkauman penyokong mereka ketika menentang England Mac lalu.

Pertahanan England, Danny Rose menjadi sasaran ejekan perkauman manakala Raheem Sterling, yang turut menyumbat gol ketika membantu kemenangan 5-1 England turut diejek dengan suara monyet ketika aksi berlangsung di Podgorica 25 Mac lalu.

Sebulan selepas aksi itu, UEFA menghukum Montenegro bermain di stadium tanpa penyokong pada aksi Kumpulan A Kelayakan Euro 2020  dengan mewajibkan mereka memasang kain rentang dengan tulisan “#EqualGame” beserta logo UEFA.

"Rayuan yang dikemukakan Persatuan Bolasepak Montenegro ditolak,” kata kenyataan UEFA yang dikeluarkan pagi tadi.

UEFA juga menolak rayuan kelab Lazio atas kesalahan sama ketika perlawanan Liga Europa di Sevilla pada Februari selain menggantung Adam Marusic tiga perlawanan susulan menyerang pemain lawan.

Sehubungan itu, Lazio dikehendaki mengosongkan kira-kira 3,000 tempat duduk di Stadio Olimpico dalam perlawanan peringkat Eropah berikutnya dengan syarat memaparkan kain rentang #EqualGame.

Dalam pada itu, UEFA mengurangkan hukuman gantung dua perlawanan ke atas pemain tengah Bosnia, Miralem Pjanic yang dibuang padang pada aksi kelayakan Euro 2020 menentang Greece Mac lalu.

Ini bermakna Pjanic akan dibenar beraksi ketika menentang Itali di Turin pada 11 Jun ini. – Reuters

Berita Harian X