X
Isnin, 27 Mei 2019 | 6:32pm
PENGENDALI FELDA United, Mohd Nidzam Jamil. - NSTP/Rozainah Zakaria
PENGENDALI FELDA United, Mohd Nidzam Jamil. - NSTP/Rozainah Zakaria

Kurang cuti Aidilfitri, fokus ubah kedudukan

 

KUANTAN: Pihak pengurusan FELDA United hanya memberikan cuti selama lima hari kepada pemain dan kakitangan teknikal pasukan itu bagi menyambut Aidilfitri.

Pengendalinya, Mohd Nidzam Jamil berkata, cuti itu bermula 3 Jun ini dan ia difikirkan sudah memadai untuk barisan pemain dan kakitangan teknikal pasukan meluangkan masa bersama keluarga mereka.

"Kalau boleh, saya nak bagi mereka cuti panjang, tapi kita kena realistik dan tengok situasi serta kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super ketika ini.

"Berada dalam zon penyingkiran dengan pasukan di tangga ke-10 dan ke-11 pula semakin menjarakkan mata, kita tidak ada banyak masa untuk terus berehat jika ingin kekal dalam Liga Super musim depan," katanya.

Mohd Nidzam berkata, tempoh latihan yang masih ada sebelum semua memulakan cuti, perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencari persefahaman antara pemain.

"Kita tidak nafikan, masalah kecederaan dialami beberapa tonggak utama pasukan menyaksikan persembahan kami musim ini tidak konsisten.

"Sebelum ini kapten The Fighters, Hadin Azman mengalami kecederaan, kemudian Jasazrin (Jamaluddin), Khairul Amri Mohd Kamal dan Daniel Amier (Norhisham)... ada antaranya sudah kembali (pulih) dan bersama dengan rakan sepasukan lain menjalani latihan," katanya.

Beliau berharap tempoh rehat tiga minggu dapat membantu pemain yang masih belum pulih kembali cergas.

Ketika ini, skuad kendalian Mohd Nidzam terdesak mengutip mata bagi menyelamatkan diri daripada terus menghuni tangga tercorot liga berbaki lapan perlawanan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X