Selasa, 28 Mei 2019 | 7:31am
Harry Kane. - Foto EPA

Southgate senarai Kane

LONDON: Harry Kane berada dalam senarai 23 pemain skuad England bagi aksi Liga Negara-Negara bulan depan tetapi dua rakan sepasukannya di Tottenham, Harry Winks dan Kieran Trippier diketepikan.

Pengurus England, Gareth Southgate mengecilkan senarai 27 pemain daripada senarai awal, bulan ini dengan pemain Southampton, James Ward-Prowse dan Nathan Redmond turut disisihkan.

Kapten England, Kane yang tidak bermain sejak mengalami kecederaan ligamen buku lali pada April disenaraikan Southgate pada hari dia menegaskan ‘bersedia’ untuk pertembungan final Liga Juara-Juara menemukan Spurs dan Liverpool, Ahad ini.

England pula dijadual bertemu Belanda di separuh akhir Liga Negara-Negara di Guimaraes, Portugal, pada Khamis minggu hadapan.

Tujuh pemain daripada senarai 23 Southgate berpotensi untuk terbabit dalam aksi final Liga Juara-Juara di Madrid yang berlangsung kurang lima hari sebelum pertembungan dengan Belanda.

“Timbul beberapa kesukaran dalam membuat keputusan dan jelas ia sedikit rumit selepas agak ramai pemain yang terbabit di Liga Juara-Juara tetapi kami semua amat teruja dengan skuad dan pemain yang disenaraikan,” kata Southgate dalam kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Inggeris.

“Sesetengah pemain yang mempunyai penamat yang amat baik pada musim ini seperti James Ward-Prowse dan Nathan Redmond kekal bersama kami dalam tempoh latihan kerana sekali pun kami mengecilkan skuad kepada 23 pemain, kami masih mempunyai dua minggu untuk diharungi menjelang dua aksi final yang besar.

"Harry Winks juga pemain yang saya amat gemar tetapi adalah sukar kerana dia sudah tidak bermain selama beberapa bulan dan kami tidak melihatnya menjalani latihan.”

Satu lagi aksi separuh akhir Liga Negara-Negara akan membabitkan tuan rumah, Portugal bertemu Switzerland dengan perlawanan final dan penentuan tempat ketiga akan berlangsung pada 10 Jun. - AFP

Skuad England

Penjaga gol: Jack Butland (Stoke), Tom Heaton (Burnley), Jordan Pickford (Everton)

Pertahanan: Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Ben Chilwell (Leicester City), Joe Gomez (Liverpool), Michael Keane (Everton), Harry Maguire (Leicester), Danny Rose (Tottenham), John Stones (Manchester City), Kyle Walker (Manchester City)

Tengah: Dele Alli (Tottenham), Ross Barkley (Chelsea), Fabian Delph (Manchester City), Eric Dier (Tottenham), Jordan Henderson (Liverpool), Jesse Lingard (Manchester United), Declan Rice (West Ham).

Penyerang: Harry Kane (Tottenham), Marcus Rashford (Manchester United), Jadon Sancho (Borussia Dortmund), Raheem Sterling (Manchester City), Callum Wilson (Bournemouth) - AFP

Berita Harian X