Selasa, 28 Mei 2019 | 11:41am
Granit Xhaka. - Foto Reuters

Arsenal 'tak bernyawa' tanpa Liga Juara-Juara

LONDON: Granit Xhaka menegaskan Arsenal tidak berupaya terlepas aksi Liga Juara-Juara buat musim ketiga berturut-turut.

Kelab Utara London itu kempunan tiket automatik beraksi di saingan elit Eropah itu selepas menamatkan kempen Liga Perdana di kedudukan kelima apabila hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir kempen.

Begitupun, mereka memperoleh ‘talian hayat’ untuk berada di sana dengan menewaskan Chelsea di final Liga Europa, awal pagi Khamis ini di Baku, Azerbaijan.

Selepas hampir menjadi ‘ahli tetap’ di Liga Juara-Juara sepanjang 22 tahun Arsene Wenger bergelar bos, pemain tengah Switzerland, Xhaka cukup sedar bencana yang bakal melanda Emirates jika mereka sekali lagi gagal beraksi di kejohanan berkenaan.

“Kami perlu berada di Liga Juara-Juara,” kata Xhaka. “Kami tidak beraksi di sana selama dua tahun dan kami perlu berada di sana pada musim depan. 

“Semua pemain, peminat, kelab, mahu kami bermain menentang pasukan terbaik, dan pasukan terbaik ada di Liga Juara-Juara. Kami bercakap mengenai musim ini, apa yang bagus, apa yang buruk, apa yang boleh berlaku jika kami menang Liga Europa.

“Kami mengharungi musim yang baik tetapi kehilangan arah sedikit pada lima perlawanan terakhir. Tetapi jika kamu berada di final Liga Europa dan boleh memenangi trofi, dan dapat beraksi di Liga Juara-Juara, kami akan mengambilnya.”

Xhaka juga berharap rekod hebat pengurus Gunners, Unai Emery yang memiliki tiga kejuaraan dalam saingan kedua Eropah itu boleh memberikan mereka kelebihan.

“Kami tidak bercakap mengenainya satu sama lain,” kata pemain berusia 26 tahun itu. “Tetapi beliau (Emery) bercakap dengan kami mengenai pengalamannya dan bagaimana beliau memenangi trofi itu tiga kali.

“Beliau akan menjadi jurulatih pertama memenanginya sebanyak empat kali, jadi bagus jika kamu berada di atas. Perlawanan final ini menunjukkan betapa sukarnya Liga Perdana. Liga paling sukar di dunia, lebih baik berbanding Sepanyol.

“Tetapi saya tidak bercakap mengenai perkara yang sudah berlalu. Saya perlu bercakap mengenai final, kerana tiada apa yang boleh kami ubah mengenai Liga Perdana, ia sudah berakhir. Apa yang boleh kami buat ialah menang Liga Europa dan kembali ke Liga Juara-Juara.” - AGENSI

 

 

Berita Harian X