Ahad, 2 Jun 2019 | 6:52am
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (tengah) memegang trofi meraikan kemenangan bersama pasukan menjuarai Liga Juara-Juara keenam buat Liverpool, awal pagi tadi. - Foto AFP

Malam terbaik hidup saya: Klopp

MADRID: Jurgen Klopp menikmati malam paling bermakna dalam kariernya sebagai pengendali selepas memenangi gelaran Liga Juara-Juara keenam buat Liverpool, sekali gus menamatkan deretan enam kekalahan berturut-turutnya pada aksi final.

Klopp tewas dua final Liga Juara-Juara sebelum ini, menentang Bayern Munich sebagai pengendali Borussia Dortmund pada tahun 2013 dan tahun lalu di tangan Real Madrid, final Liga Europa 2016 dan tiga final kejuaraan domestik di Jerman dan England.

“Saya amat gembira untuk pemain-pemain, untuk keluarga saya, mereka terkesan setiap tahun apabila kami mara ke final… mereka berhak (dengan kejuaraan ini) berbanding orang lain,” kata Klopp.

“Ia mungkin malam terbaik dalam hidup saya.”

 


Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp dijulang pemain dan pegawai pasukan sejurus tamat perlawanan final Liga Juara-Juara menentang Tottenham, awal pagi tadi. - Foto AFP

Liverpool menjulang trofi Eropah pertama mereka sejak tahun 2005 selepas aksi kurang memberangsangkan menentang pesaing Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur, dan Klopp memuji keberanian anak buahnya memenangi gelaran berkenaan walaupun keletihan.

“Pernahkah anda melihat pasukan sebegini, berjuang tanpa bahan api di dalam tangki lagi?

“Ini amat baik untuk pembangunan kami kerana selama ini kami sering berada di landasan betul tetapi orang mempersoalkan apa yang sudah kami menangi,” katanya. – AFP

Berita Harian X