Selasa, 4 Jun 2019 | 9:15pm
STADIUM Nasional Bukit Jalil

Cuaca tak menentu rosakkan padang SNBJ

KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kekal ideal dan bersedia sepenuhnya untuk aksi 'play-off' Kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia dan Timor Leste.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud memandang serius rungutan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dengan pihaknya akan terus melakukan penyelenggaraan terhadap permukaan padang di venue itu sehingga hari perlawanan.

Jelas Nik Razeen, pihaknya sudah mengambil semua langkah diperlukan bagi memastikan permukaan padang sentiasa berada pada tahap terbaik namun keadaan cuaca tidak menentu sepanjang minggu ini menyebabkan masalah terbabit.

"Kita sentiasa menjalankan penyelenggaraan dan bagi penggunaan skuad kebangsaan, kita berhubung dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan maklumat mengenai apa yang diperlukan mereka.

"Sebelum ini, kita sudah memotong rumput seperti diminta FAM namun kerana permukaan padang yang terlalu lembap susulan hujan lebat, masalah mula dihadapi pasukan kebangsaan ketika menggunakan padang untuk aksi bertemu Nepal.

"Kita tidak boleh menutup permukaan padang dengan kanvas kerana rumput memerlukan cahaya matahari. Rumput 'cow grass' digunakan di venue ini adalah antara yang terbaik jadi saya kira kita sudah memiliki antara padang berkelas dunia.

"Apapun, sebagai pihak bertanggungjawab, penjagaan dan penyelenggaraan akan berterusan dilakukan bagi memberikan permukaan padang ideal untuk digunakan skuad Harimau Malaya," katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Terdahulu, Cheng Hoe melontarkan perasaan kurang senang terhadap keadaan permukaan padang di stadium terbabit selepas berakhirnya aksi persahabatan menentang Nepal, Ahad lalu.

Bekas ketua jurulatih Kedah itu menjelaskan, keadaan padang di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu nyata menjejaskan persembahan anak buahnya dan lebih merisaukan, venue sama akan turut digunakan bagi aksi 'play-off' Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste, 7 dan 11 Jun ini.

Berita Harian X