Khamis, 13 Jun 2019 | 5:58pm
Shahrel Fikri. - Foto Asyraf Hamzah
Shahrel Fikri. - Foto Asyraf Hamzah

Eki layak sarung jersi nombor 10

 

KUALA LUMPUR: Ramai yang mengimpikan untuk menyarung jersi nombor 10 Harimau Malaya kerana semua sedar ia memiliki cerita tersendiri termasuk pernah dipakai ikon bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari suatu ketika dulu.

Jersi berkenaan cukup sinonim buat penyerang hebat antaranya Safee Sali yang mencetus fenomena ketika menjulang Harimau Malaya menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama pada 2010.

Malah Safee yang menyarung jersi keramat itu turut dinobatkan selaku pemenang kasut emas pertandingan berkenaan sehingga menarik kelab luar mendapatkan khidmatnya sebelum mengambil keputusan berkelana ke Liga Indonesia bersama Pelita Jaya. 

Kejayaan Shahrel Fikri Md Fauzi melakar hatrik pada aksi kedua playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste Selasa lalu mendapat pujian daripada Safee sendiri yang merasakan pemain berkenaan memang layak untuk menyarung jersi nombor 10 itu.

"Yang penting saya mahu berikan kredit kepada Shahrel Fikri Md Fauzi kerana membuktikan beliau berwibawa untuk menyarung jersi nombor 10.

"Walaupun menentang Timor Leste, bukan senang untuk cipta hatrik di peringkat antarabangsa. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepadanya kerana menyarung jersi nombor 10 dengan baik.

"Apa yang saya nampak, dia semakin yakin dalam permainannya bersama skuad kebangsaan. Satu perkara yang luar biasa.. teruskan berusaha untuk jadi lebih baik," kata Safee menerusi laman sosial Instagram.

Selain hatrik, Shahrel Fikri yang lebih dikenali sebagai Eki juga turut menjaringkan satu gol pada perlawanan pertama itu yang seterusnya meningkatkan motivasi penyerang Perak itu untuk terus menyarung jersi negara serta membuktikan kemampuannya sebagai penggempur berbisa. 

Dalam masa sama, Safee mahu pemain yang dipanggil Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe memanfaatkan peluang mengharumkan nama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

"Saya mahu ucapkan tahniah kepada Harimau Malaya kerana berjaya menang dengan jaringan selesa ketika menentang Timor Leste. 

"Teruskan perjuangan anda untuk pasukan kebangsaan. Tiada yang mustahil untuk anda melakukan sesuatu kepada pasukan negara. Anda berjasa untuk negara," katanya.

 

 

Berita Harian X