Sabtu, 15 Jun 2019 | 12:14pm
Pemain Kedah, David William Rowley,(tengah) dikawal pemain Pahang, Muhammad Zubir Mohd Azmi (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi. - Foto Amran Hamid

Bukan perlawanan terbaik Kedah - Aidil Sharin

ALOR SETAR :Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui keputusan seri 0-0 pada perlawanan Liga Super menentang Pahang malam tadi bukanlah antara perlawanan terbaik yang dipamerkan Kedah. 

Namun pengendali dari Singapura itu tetap optimis skuadnya mampu membentuk peningkatan yang lebih baik dengan membetulkan beberapa kesilapan dan kelemahan yang dilakukan. 

"Ini bukanlah permainan terbaik bagi Kedah tapi saya tetap berpuas hati kerana kami tidak berputus asa melancarkan serangan mencari gol terutama 15 minit di hujung perlawanan." 

"Kami memiliki beberapa peluang tapi gagal memanfaatkan gol dan inilah bola sepak kadangkala kesilapan berlaku dan kita gagal melangkapkan percubaan yang dilakukan sedangkan Fadzrul  Danel, Zaquan Adha dan Fernando Rodriguez berada di posisi mendapatkan gol."

"Pada keseluruhan, kami memberi tekanan yang diharapkan pada babak pertama dan kemudian pasukan lawan bangkit dan kita kembali meneruskan rentak serangan seterusnya hingga hujung perlawanan."

Aidil turut menegaskan bahawa perancangan skuad Lang Merah adalah untuk berjuang mendapatkan tiga mata selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri. 

"Kita merancang untuk menang tambahan ini perlawanan di laman sendiri namun dengan keputusan ini kita akan belajar dari kesilapan dan mengambil pengajaran secara positif untuk perlawanan seterusnya." 

Aidil bagaimanapun menarik nafas lega  kerana dijangkakan Kedah kembali mendapat tenaga penuh pemain untuk berdepan PKNS FC selasa depan kerana tiga pemainnya kini sudah bebas dari penggantungan kad kuning.

"Kami jangkakan jika tiada kecederaan, kami akan kembali mendapat skuad yang penuh dengan Jonatan Bauman, Rizal Ghazali dan Azmeer Yusof akan kembali ke dalam pasukan."

"Jika sebelum ini disebabkan kecederaan dan penggantungan, kami hanya ada tiga atau empat perlawanan sahaja yang menyaksikan kami mendapat skuad penuh dan saya berharap seterusnya 

berdepan PKNS nanti, tiada pemain yang cedera untuk skuad yang lengkap." katanya.

Aidil bagaimanapun enggan merumuskan tahap pemain baharu iaitu Edgar Bernhardt kerana masih awal menilai kehebatan pemain itu.

 

 

Berita Harian X