Isnin, 17 Jun 2019 | 10:24am
Presiden Kelab Bola Sepak Petaling Putra, Datuk Ramlan Askolani. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Presiden Kelab Bola Sepak Petaling Putra, Datuk Ramlan Askolani. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Ahli gabungan KLFA ancam balas tindakan

 

KUALA LUMPUR: Jaga-jaga Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA)!

Ini kerana wakil ahli gabungan yang menjadi ‘mangsa’, Datuk Ramlan Askolani menegaskan dia bersedia untuk mengheret KLFA ke badan pengadilan lebih tinggi selepas menyifatkan penyingkiran dilakukan persatuan itu ke atasnya adalah tidak adil.

Jelas Ramlan yang juga Presiden Kelab Petaling Putera, dia akan memanjangkan perkara terbabit kepada pihak berkaitan sekiranya rayuan dikemukakan kepada KLFA berhubung penyingkiran terbabit, ditolak.

“Kalau sampai ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekalipun, FIFA lah. Kita akan gunakan semua saluran yang ada dan akan melantik peguam. 

“Kalau perlu jumpa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), kita akan jumpa. Pada kami, isu ini kecil saja iaitu untuk mengadakan pemilihan.

“Kalau dia kata sokongan kami tidak kuat, jadi buatlah pemilihan. Kalau kita kalah, kita terima dan kalau mereka kalah, mereka pun perlu terima. Begini barulah adil,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Selangor United di sini, semalam.

Terdahulu, selepas mengambil pendirian berlembut, KLFA akhirnya bertindak tegas menggugurkan keahlian sembilan ahli gabungan selepas didapati melanggar statut termaktub dalam badan induk berkenaan.

Sembilan ahli gabungan berkenaan adalah Kelab Bolasepak Sime Darby, VI Institution, Kelab Bolasepak Bukit Bandaraya, Kelab Bolasepak Bank Rakyat, Kelab Bolasepak Putrajaya, Kelab Bolasepak Petaling Putra, Kelab Bolasepak FELCRA, Kelab Bolasepak UniKL dan Akademi Subadron.

Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata peluang sudah diberikan seluas-luasnya namun mereka bersikap diam diri walaupun diminta membalas surat tunjuk sebab yang dikeluarkan KLFA.

"Apabila sudah melanggar statut, maka tindakan boleh diambil kepada mereka. Setakat ini, mesyuarat EXCO memutuskan mereka perlu digugurkan dan tidak layak untuk hadir ke kongres ini

."Peluang kita sudah berikan namun tiada maklum balas namun dalam klausa lain mereka masih boleh buat rayuan," katanya pada sidang media Mesyuarat Agung KLFA kali ke-31, kelmarin.

Berita Harian X