Isnin, 17 Jun 2019 | 10:41am
Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi.

KAFA zalim - Piya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) buat kerja paling zalim! 

Itu luahan bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi terhadap bekas majikannya.

Ia susulan Badhri mendakwa KAFA memintanya melupakan tunggakan dua bulan gaji bagi musim ini sebagai syarat untuk pemain itu mendapatkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN).

Menyifatkan syarat itu tidak masuk akal, Badhri atau lebih mesra disapa Piya menjelaskan dia tidak boleh beraksi bersama pasukan baharu, Kelantan United selagi tidak mendapat SPN daripada KAFA.

Justeru, dia turut menganggap tindakan KAFA itu seolah-olah mahu menutup periuk nasinya walaupun sudah lebih sedekad menabur berbakti kepada pasukan kelahirannya itu.

"Mereka (KAFA) sudah gantung saya tidak bertali, sampai macam ini sekali nak tutup periuk nasi saya. Apa yang KAFA buat ini memang kerja zalim.

"Sebelum ini mereka sudah bersetuju menamatkan kontrak dan melepaskan saya menyertai pasukan lain, tapi kini mereka letak syarat untuk saya lupakan tunggakan gaji dua bulan jika mahukan SPN.

"Saya tidak tahu apa masalah KAFA dengan saya dan tunggakan gaji yang saya tuntut sebelum ini termasuk tahun lalu pun saya tidak dapat apa-apa lagi," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Piya pernah digantung tidak bertali oleh KAFA pada musim lalu sebelum pemain itu 'angkat kaki' dan menyertai Perlis pada awal musim ini.

Namun, Piya kembali ke pangkuan The Red Warriors (TRW) yang difahamkan di bawah kontrak bersama Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggugurkan Perlis daripada Liga Malaysia.

Selain itu, Piya bertegas tidak akan tunduk dengan syarat KAFA itu dan menjelaskan tidak akan teragak-agak untuk membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Berita Harian X