Isnin, 17 Jun 2019 | 8:25pm
PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak. - Foto Rasul Azli Samad

Kedah bawa skuad penuh ke Shah Alam

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Aidil Sharin Sahak berharap skuad penuh yang dibawanya ke stadium Shah Alam bagi menentang PKNS FC malam esok berjaya membawa pulang tiga mata Liga Super.

Kehadiran semula tiga tonggak utama pasukan – Rizal Ghazali, Jonatan Bauman dan Azmeer Yusof – yang sudah bebas penggantungan kad kuning memberi pilihan lebih luas buat Aidil membuat percaturan. 

"Kita tidak mendapat skuad penuh dalam beberapa perlawanan sebelum ini akibat kecederaan dan penggantungan, dan jika pemain sedia ada ini bebas daripada sebarang kecederaan kita akan berpeluang menurunkan kekuatan penuh pada aksi kali ini,” kata Aidil.

"Kita tidak rela kehilangan mata lagi kerana persaingan kini bertambah sengit, dengan Selangor sudah memintas pada kedudukan ketiga dan pasukan lain seperti Melaka, Perak dan Terengganu sudah pasti mahu melalukan perkara yang sama. 

"Jadi kami perlu lebih fokus, pandang ke depan dan mengambil pengajaran penting dalam perlawanan menentang Pahang sebelum ini."

Aidil juga mahu semua pemain terus memberi komitmen yang tinggi walaupun skuadnya pernah mencatat kemenangan 3-1 ke atas PKNS pada hujung April lalu dalam saingan Piala FA. 

"Kita tidak mahu dibayangi keputusan perlawanan sebelum ini kerana setiap perlawanan adalah cerita baru dan perlu perancangan yang lebih baik.

"Kita sentiasa menganggap setiap perlawanan itu adalah sukar dan kita harus melakukan sesuatu dalam tempoh tiga hari sebelum perlawanan seterusnya," katanya

Skuad Lang Merah menghuni tangga keempat liga dengan 22 mata hasil enam kemenangan dan lima seri. 

 

 

Berita Harian X