Rabu, 19 Jun 2019 | 11:30am
ABU Bakar Fadzim

PKNP terdesak untuk kekal dalam Liga Super

 

KUANTAN: Bukan saja PKNP FC, malah tiga lagi pasukan turut terdesak untuk kekal bersaing dalam saingan Liga Super musim depan.  

Itu komen pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim yang mahu anak buahnya menamatkan baki lima perlawanan dengan mengutip mata maksimum.  

"Bagi saya, empat pasukan iaitu PKNP, PKNS, Kuala Lumpur dan FELDA United juga sedang berusaha untuk memperbaiki kedudukan.  

"Sudah pasti, satu atau dua kemenangan diraih akan membantu mana-mana pasukan ke depan sekali gus keluar dari zon penyingkiran.  

"Dengan berbaki lima perlawanan, saya akan pastikan mata maksimum diraih selepas bertemu dengan dua pasukan berada di tempat teratas seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan 0-2 di tangan Pahang malam tadi, Abu Bakar mengakui skuadnya tidak beraksi pada tahap terbaik untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di tempat lawan.  

Katanya, disiplin dan kelekaan anak buahnya tidak seperti dipamerkan ketika seri 1-1 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), Jumaat lalu.  

"Pahang mempertaruhkan kesebelasan utama dan mereka berada pada prestasi terbaik yang menyaksikan kami dibolosi dengan dua gol pada separuh masa pertama.  

"Pada babak kedua pula, pemain mempamerkan sedikit peningkatan dan berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi," katanya.

Beliau turut memuji penjaga golnya, Khairul Thaqif Shah Kamal Bashah kerana beraksi cemerlang dan berjaya mengawal gawang daripada terus dibolosi skuad Tok Gajah. 

Berita Harian X