Khamis, 20 Jun 2019 | 10:04am
SERGIO Ramos merakamkan penghormatan terhadap Luis Enrique yang mengundurkan diri sebagai jurulatih Sepanyol atas alasan peribadi.

Ramos beri sokongan buat Enrique

MADRID: Sergio Ramos merakamkan penghormatan terhadap Luis Enrique yang mengundurkan diri sebagai jurulatih Sepanyol atas alasan peribadi dan bakal digantikan dengan penolongnya, Robert Moreno.

Luis Enrique dalam satu kenyataan berkata, beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan “berikutan alasan yang menghalangnya daripada menjalankan tugasnya secara normal sejak Mac lalu.”

Isu peribadinya bagaimanapun tidak dinyatakan kepada umum.

Kapten Sepanyol, Ramos menulis dalam Twitter: “Setiap kejayaan pasukan kebangsaan adalah milik anda bos. Anda memiliki semua sokongan kami dan juga kekuatan kami.”

Moreno ditugaskan membimbing Sepanyol pada tiga perlawanan terakhir dan kini membantu pasukan mengharungi kelayakan Euro 2020 dan juga kejohanan terakhir yang menyaksikan beliau memegang tugas pertama sebagai jurulatih profesional.

Beliau akan menjadi bos keempat pasukan Sepanyol dalam tempoh 12 bulan, selepas Luis Enrique dilantik susulan prestasi Piala Dunia yang huru hara, menyaksikan Julen Lopetegui dipecat dan Fernando Hierro mengisi kekosongan itu.

“Luis Enrique memaklumkan kepada kami beliau tidak akan menyambung tugas sebagai jurulatih,” kata presiden RFEF,  Luis Rubiales dalam satu sidang media.

“Robert akan mengambil alih tugas sebagai jurulatih, dengan tempoh kontrak sama panjang beliau tandatangani sebelum ini. Beliau akan mengambil alih untuk membawa pasukan menampilkan persembahan yang baik pada Euro 2020.” – AFP

Berita Harian X