Ahad, 23 Jun 2019 | 1:50am
Gambar dari video menunjukkan pemain Pahang, Herold Goulon melakukan sepakan percuma jarak jauh di minit ke-92 permainan ketika menentang Perak pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. - Foto ihsan Iflix

Gol kualiti Puskas di Kuantan?

KUALA LUMPUR: Pemain Pahang, Herold Goulon mencipta suasana gegak-gempita di Stadium Darul Makmur, Kuantan apabila meledak gol ‘ajaib’ berpunca daripada sepakan percuma jarak jauh, malam tadi.

Selepas turut menjaringkan gol pembukaan Tok Gajah pada minit ke-11, Goulon yang beraksi di bahagian pertahanan menyumbat jaringan kedua peribadinya dalam aksi berkenaan pada masa kecederaan.

Sekali pun sepakan percuma yang dilakukannya jauh di tepi garisan tengah padang, ia tidak menghalang bola berkenaan melambung tinggi menuju ke arah gawang yang gagal dijangkau penjaga gol Bos Gaurus,  Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Jaringan pemain kelahiran Perancis itu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA membuatkan pemain Perak terkedu yang menyaksikan gawang mereka bolos buat kali ketiga.

Kemenangan 3-1 itu turut menyaksikan Pahang meraih bekalan selesa ke Stadium Perak, minggu depan.

Sebagai rekod, Malaysia pernah memenangi anugerah gol tercantik Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Faiz Subri pada 2016 menerusi sepakan percuma yang dianggap 'melanggar' hukum fizik.

 

 

Berita Harian X