Selasa, 25 Jun 2019 | 6:57pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Owee Ah Chun

'Tunggu PBNP mesyuarat dulu'

KUANTAN: Keputusan sama ada jaringan 'luar biasa' Herold Goulon akan dicalonkan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan terjawab selepas Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengadakan mesyuarat tidak lama lagi.

Sumber PBNP berkata, keputusan muktamad hanya diketahui selepas ahli jawatankuasa persatuan itu mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat.

"Setakat ini, tiada sebarang keputusan kerana belum ada perjumpaan untuk mencalonkan jaringan pemain pertahanan import itu (Goulon) ke Anugerah Puskas FIFA," katanya.  

Kelmarin, gol ajaib dan jarang berlaku daripada Goulon menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menimbang untuk mencalonkannya ke Anugerah Puskas FIFA.  

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keputusan berkenaan akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa teknikal sebelum mendapatkan maklum balas daripada pemain terbabit dan pengurusan PBNP. 

Beliau berkata, jawatankuasa teknikal akan menilai gol berkenaan sama ada bersesuaian atau sebaliknya dicalonkan ke Anugerah Puskas FIFA.  

"FAM perlu mendapat persetujuan daripada pemain dan PBNP dahulu sebelum menghantar borang pencalonan namun jika melihat kepada gol terbabit sememangnya jarang berlaku dan agak sukar untuk berbuat demikian," katanya.

Sabtu lalu, Goulon mencipta suasana gegak-gempita di Stadium Darul Makmur, Kuantan apabila meledak gol 'ajaib' berpunca daripada sepakan percuma jarak jauh.  

Selepas turut menjaringkan gol pembukaan Tok Gajah pada minit ke-11, Goulon yang beraksi di bahagian pertahanan menyumbat jaringan kedua peribadinya dalam aksi berkenaan pada masa kecederaan.

Sekali pun sepakan percuma dilakukannya jauh di tepi garisan tengah padang, ia tidak menghalang bola berkenaan melambung tinggi menuju ke arah gawang yang gagal dijangkau penjaga gol The Bos Gaurus, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.  

Jaringan pemain kelahiran Perancis pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA itu membuatkan pemain Perak terkedu yang menyaksikan gawang mereka bolos buat kali ketiga.

Berita Harian X