Rabu, 26 Jun 2019 | 12:29am
Neymar dilaporkan terdesak untuk kembali ke Sepanyol dan Barcelona. - Foto fail Reuters

Neymar sedia gaji dipotong

MADRID: Neymar bersedia untuk mengurangkan gajinya kepada 12 juta euro (RM56.41 juta) bagi meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) sebagai sebahagian daripada ‘perjanjian lisan’ di antara pemain Brazil itu dan Barcelona, menurut laporan media Sepanyol.

PSG begitupun belum mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menjual penyerang bintangnya itu yang dibeli dengan nilai memecah rekod dunia 222 juta euro (RM1.4 bilion) dari Barca, dua tahun lalu.

Tetapi Neymar dilaporkan terdesak untuk kembali ke Sepanyol dan Barcelona bersedia untuk membawanya pulang dengan akhbar, Diario Sport mendakwa kontrak perjanjian selama lima tahun sudah pun dimeterai.

Akhbar itu berkata antara terma adalah termasuk Neymar mengurangkan gajinya sekitar 36 juta euro (RM169.24 juta) yang diperolehnya di PSG kepada 24 juta euro (RM56.41 juta), sama seperti yang diperolehnya di Barca pada 2017.

Ia turut termasuk menggugurkan kes mahkamah membabitkan tuntutan berjumlah 26 juta euro (RM122.23 juta) terhadap kelab Catalan itu.

Neymar sebelum ini berkata dia dijanjikan jumlah berkenaan sebelum berpindah sebagai bonus kesetiaan.

Akhbar Barcelona, Mundo Deportivo turut melaporkan Neymar juga perlu membuat permohonan maaf secara umum kepada peminat kelab berkenaan berikutan cara perpindahannya.

Pemain berusia 27 tahun itu menghabiskan tempoh empat tahun di Nou Camp dan memenangi Liga Juara-Juara pada 2015 serta dua gelaran La Liga dengan gandingannya bersama Lionel Messi dan Luis Suarez dianggap paling digeruni.  - AFP

Berita Harian X