Jumaat, 28 Jun 2019 | 6:42pm
AIDIL Sharin Sahak

Kedah fokus kecergasan pemain

 

ALOR SETAR: Faktor kecergasan menjadi perhatian utama ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak apabila skuad Lang Merah bakal menempuh perlawanan separuh akhir kedua menentang FELDA United FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka Ahad ini. 

Aidil berkata, pemainnya memerlukan tahap kecergasan terbaik seterusnya layak ke pentas final Piala FA musim ini. 

"Semangat kami untuk meneruskan perjuangan ini semakin memuncak dan apa yang perlu kami beri perhatian kini adalah faktor kecergasan pemain yang baharu sahaja beraksi menentang PJ City di Darul Aman Rabu lalu.

"Sememangnya ia satu cabaran besar bagi kami yang melalui jadual padat dan aspek keletihan pastinya perlu kami atasi dengan sebaik mungkin.

"Saya mengharapkan pemain segera mencapai tahap kecergasan maksima bagi memastikan kita mendapat kesebelasan utama terbaik nanti," katanya.

Aidil menegaskan, skuadnya perlu berwaspada dengan pemain skuad The Fighters seperti Thiago Junior, kapten Hadin Azman, Kei Ikeda dan juga pemain kebangsaan Singapura, Khairul Amri Kamal. 

"Kelicikan pemain FELDA yang akan beraksi di laman sendiri dengan keadaan padang rumput tiruan adalah cabaran perlu kami atasi dan kami tidak boleh leka walau sedikit pun.

"Bekalan satu gol di Darul Aman sebelum ini perlu kami lupakan seketika dan fokus utama adalah turun memburu kemenangan di tempat lawan,” katanya.

Berita Harian X