Sabtu, 6 Julai 2019 | 1:42pm
AIDIL Sharin Sahak

Terbukti satu gol tak selamat - Aidil

ALOR SETAR: Walaupun dapat menguasai permainan, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak nyata kecewa apabila skuadnya gagal mengutip mata penuh selepas sekadar seri 1-1 dengan PKNP FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam. 

"Saya kecewa kerana kami terlepas dua mata berharga pada malam ini selepas kami melakukan banyak serangan tapi kami tidak dapat menjaringkan gol." 

"Kami mencipta banyak peluang dengan bola hantaran bahaya dan jika penyerang lebih tajam, kami mampu meletakkan bola ke dalam jaring dan saya rasa kami perlu terus berusaha dan bekerja keras."

"Dari segi keseluruhan perlawanan saya tetap berpuas hati kerana kami telah meningkatkan tahap permainan dengan menguasai permainan, mengawal serta membuat hantaran bola yang baik, cuma kami perlu belajar mendahului satu gol tidak selamat dan tidak mencukupi. Memberi pihak lawan satu peluang, mereka berjaya memanfaatkannya untuk gol penyamaan."

"Itulah bola sepak, pemain saya telah beri segala-galanya dan mereka bekerja keras namun kami perlu terus belajar bola sepak adalah berkaitan 90 minit permainan dan satu jaringan tidak mencukupi."

Aidil turut mengakui skuad Lang Merah harus berusaha meningkatkan lagi kemampuan dalam baki tiga lagi perlawanan liga super sebelum menempuh perlawanan di akhir Piala FA pada 27 Julai nanti. 

"Dari segi usaha dan komitmen, saya lihat pemain telah beri segalanya dengan kerja keras dan seperti yang saya katakan sebelum perlawanan, PKNP bukanlah pasukan yang  mudah kerana mereka memiliki pemain tinggi dimana kita perlu lebih berwaspada." 

"Ancaman dari sepakan bola mati membuka peluang untuk mereka menjaringkan gol dari inilah perkara yang kita perlu atasi pada masa depan."

Dalam masa yang sama, Aidil juga mengakui mana-mana  pasukan yang terlepas peluang mengutip mata akan turun ke tangga lebih bawah dan ini melihatkan betapa sengitnya saingan dalam tiga perlawanan terakhir saingan Liga Super selepas ini. 

"Kami mahu mengutip sebanyak mana jumlah mata yang boleh di mana ada tiga lagi perlawanan iaitu menentang Terengganu, FELDA United dan Perak yang mana juga bukan mudah namun kami perlu terus bekerja keras untuk mendapat mata penuh." katanya.

Berita Harian X