Selasa, 9 Julai 2019 | 8:09am
GAMBAR fail, Neymar kelihatan di Statium Mineirao menunggu perlawanan Brazil bertemu Argentina pada Copa America, 2 Julai lalu. - Foto REUTERS
GAMBAR fail, Neymar kelihatan di Statium Mineirao menunggu perlawanan Brazil bertemu Argentina pada Copa America, 2 Julai lalu. - Foto REUTERS

PSG bengang perangai Neymar

PARIS: Bintang Brazil, Neymar gagal memunculkan diri pada sesi latihan pramusim Paris Saint-Germain (PSG) dengan kelab gergasi Perancis itu mengumumkan akan mengambil ‘tindakan sewajarnya.’

Dalam kenyataan ringkas, juara Perancis itu berkata: “Pada Isnin 8 Julai, Neymar da Silva Santos Junior dijadualkan kembali untuk menjalani aktiviti pramusim bersama skuad senior Paris Saint-Germain.

"Paris Saint-Germain difahamkan Neymar tidak hadir pada masa dan tempat yang sudah dipersetujui. Ini adalah tanpa kelulusan kelab. Kelab kesal dengan situasi ini dan berikutan itu akan mengambil tindakan sewajarnya.”

Di Rio, media Brazil memetik kenyataan bapa kepada Neymar yang berkata (PSG) ‘sedar’ dengan ketidakhadiran penyerang itu.

“Alasan (ketiadaannya) sudah diketahui dan dirancang selama setahun sebagai sebahagian daripada aktiviti untuk Institut Neymar (yayasan kebajikan),” kata bapanya, Neymar Senior.

“Kami tidak boleh menangguhkannya dan dia akan pulang (ke PSG) pada 15 Julai ini. Ia semudah itu, tiada sebarang drama. PSG mengetahuinya dan turut mengambil bahagian dalam aktiviti institut itu.”

Neymar tidak beraksi di Copa America yang dimenangi Brazil baru-baru ini susulan kecederaan, terbabit dalam kontroversi kepulangan semula ke bekas kelabnya, Barcelona.

Pemain berusia 27 tahun itu meninggalkan Barca pada 2017 untuk menyertai PSG dengan rekod perpindahan dunia 222 juta euro (RM1.4 bilion).

Semalam, Pengarah Sukan PSG, Leonardo memberitahu akhbar Parisien yang “Neymar boleh meninggalkan PSG jika ada tawaran yang sesuai untuk semua pihak” dengan Naib Presiden Barca, Jordi Cardoner mendedahkan hasrat pemain itu untuk kembali ke Catalunya adalah benar.

- AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X