Selasa, 9 Julai 2019 | 12:35pm
Legenda Chelsea, Gianfranco Zola.

Awal sangat Sarri tinggalkan Chelsea - Zola

LONDON: Legenda Chelsea, Gianfranco Zola berpendapat bekas bosnya Maurizio Sarri meninggalkan kelab Inggeris itu terlalu awal.

Sarri ditunjukkan jalan keluar dari Chelsea selepas semusim bertugas dan kembali ke Itali bagi mengemudi juara Serie A, Juventus.

Bekas pemain yang juga legenda kelab, Frank Lampard menggantikan tempatnya sebagai ketua jurulatih dengan Zola yang juga bekas pembantu jurulatih turut mengikuti jejak langkah Sarri keluar dari Stamford Bridge.

“Saya fikir kerja terbaik Sarri bukan pada tahun pertamanya tetapi bermula pada tahun kedua dan seterusnya,” kata Zola dengan Chelsea memenangi Liga Europa dan menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ketiga, musim lalu.

“Melihat kepada bagaimana dia bekerja, ia mengambil sedikit masa untuk ia menampakkan hasil seperti yang dia mahukan dan dia juga meletakkan tekanan yang tinggi kepada barisan pemainnya.

“Tetapi apabila pemain sudah biasa dengannya, mereka akan menjadi lebih baik dan kerjanya akan menjadi lebih efektif. Ia menyedihkan, kerana saya fikir ia bagus untuk kelab jika Maurizio kekal dan ia juga bagus untuknya.”

Lampard dilantik sebagai pengurus Chelsea yang baharu pada minggu lalu dan ketika ini mengendalikan kelabnya bagi menghadapi ujian pra-musim di Ireland.

Sekali pun Chelsea dikenakan penggantungan pembelian pemain, bekas pengurus Derby itu mempunyai 34 pemain untuk dipilih bagi mengharungi kempen musim depan termasuk 13 pemain yang baharu menyertai pasukan di Ireland termasuk Kepa Arrizabalaga, David Luiz, N'Golo Kante serta Mateo Kovacic dan Olivier Giroud yang mengesahkan kontrak sepenuh masa. - AGENSI

Berita Harian X