Rabu, 10 Julai 2019 | 11:20pm
Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Peter de Roo. - NSTP/Owee Ah Chun

Gaji besar buat pemain malas: De Roo

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya mempunyai kelompok pemain muda yang berbakat dan berpotensi namun sayangnya, tidak semua menyerlah apabila bersama skuad kebangsaan.

Situasi itu jelas menimbulkan keresahan apabila berlakunya pembaziran bakat selepas hanya segelintir yang berjaya mencapai potensi penuh, manakala sebahagian daripadanya tidak dapat berkembang meskipun menonjol ketika menyertai skuad remaja.

Mengulas mengenai situasi berkenaan, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Peter de Roo menyifatkan antara punca yang menyumbang kepada permasalahan terbabit adalah budaya yang ditunjukkan di bilik persalinan skuad senior.

“Pandangan ini akan membuat ada pihak yang tidak gembira dengan saya. Namun saya merasakan masalah ini antaranya disebabkan budaya bilik persalinan skuad senior di mana mereka perlu tunjukkan bahawa mereka pemain profesional dan berdisiplin,” kata De Roo.

Justeru, bekas pemain Belanda itu mengakui betapa mereka perlu memastikan generasi baharu di negara ini dapat bersedia untuk menghadapi budaya bilik persalinan apabila menyertai skuad senior pada masa akan datang.

“Kita perlu pastikan mereka mengikut contoh yang baik dan pemain yang tepat tanpa mengira apa sahaja situasi yang bakal mereka tempuhi.

“Ramai pemain berbakat yang hilang daripada radar kerana mereka bergelut untuk mengawal situasi ini. Jadi mental mereka perlu kuat. Apa yang saya lihat, kebanyakan pemain sudah selesa dengan gaji besar, jadi mereka nampak sedikit malas.

“Sudah tentu ini bukan contoh yang baik kepada pemain muda. Jadi generasi baharu ini perlu bersedia dengan budaya sebegini kerana mereka pula akan menjadi contoh kepada generasi seterusnya,” katanya.

Berita Harian X