Khamis, 11 Julai 2019 | 12:47pm
DANIEL James dan Aaron Wan-Bissaka sedia memainkan peranan penting bersama kelab. - Foto Twitter Manchester United

James, Wan-Bissaka kuatkan Man United - Mata

LONDON: Pembelian baharu Manchester United, Daniel James dan Aaron Wan-Bissaka bersemangat untuk membuktikan diri mereka dan sedia memainkan peranan penting bersama kelab, kata pemain tengah berpengalaman Juan Mata.

Selepas menamatkan kempen Liga Perdana musim lalu di tangga keenam, sekali gus tercicir dari kancah Liga Juara-Juara, bos United Ole Gunnar Solskjaer kini fokus terhadap pemain muda dalam usahanya kembali beraksi dalam saingan elit Eropah itu pada musim berikutnya.

James tiba di Old Trafford dengan perjanjian dilaporkan £15 juta (RM77.47 juta) dari Swansea, bulan lalu dan Wan-Bissaka mengikuti jejak itu apabila dibeli dari Crystal Palace dengan nilai sekitar £50 juta (RM258.24 juta).

Kedua-dua pemain berusia 21 tahun itu sudah pun menjalani latihan bersama rakan sepasukan baharu sejak minggu lalu dan Mata berkata mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik.

“Kami dapat melihatnya sejak hari pertama, kedua-duanya berkualiti,” kata Mata. “Wan-Bissaka bermain di Liga Perdana dan James mengharungi kempen yang hebat di Swansea.

“Harapnya mereka dapat banyak membantu kami. Mereka amat penting kerana mereka amat muda dan amat bertekad untuk memberikan yang terbaik kepada kelab.”

Selain James dan Wan-Bissaka, United turut membawa produk akademinya seperti Tahith Chong, James Garner, Mason Greenwood dan Angel Gomes dalam skuad yang mengharungi jelajah pra-musim di Australia dan Asia ketika ini.

Justeru Mata yang menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun pada bulan lalu mengakui gembira dengan kehadiran tenaga muda ini.

“Pertamanya saya perlu kata mereka semua amat baik,” kata pemain kelahiran Sepanyol itu. “Kadang kala apabila kamu di usia seperti mereka, kamu senang untuk marah dan berfikir yang kamu lebih baik, lebih terkenal. Tetapi mereka amat tenang dan rendah diri. Mereka semua.” - AGENSI

Berita Harian X