Khamis, 11 Julai 2019 | 1:24pm
PEMAIN tengah Barcelona, Frenkie de Jong. - Foto AFP

'Jangan bandingkan saya dengan Xavi, Iniesta'

MADRID: Pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong menolak perbandingan dengan legenda kelab Sepanyol itu seperti Xavi dan Andres Iniesta.

De Jong, 22, disambar juara La Liga itu dari Ajax dengan nilai £65 juta (RM335.94 juta) pada Januari lalu tetapi proses perpindahan bintang Belanda itu baru dilengkapkan baru-baru ini.

Sejurus diperkenalkan, De Jong tidak dapat lari daripada perbandingan dengan legenda tengah Barca, Xavi dan Iniesta tetapi dia jelas tidak mahu mengulasnya sekali pun mengakui gaya permainannya sesuai dengan gergasi Sepanyol itu.

“Saya tidak mahu dibandingkan dengan mereka,” kata De Jong. “Ini adalah kelab yang sempurna untuk pemain tengah. Mereka mengawal bola dengan amat baik, mengawal permainan, ia amat sempurna untuk saya.”

De Jong melengkapkan perpindahannya ke Barca selepas membantu Ajax meraih kejayaan berganda domestik musim lalu selain mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Barca juga tersingkir di peringkat empat terakhir sekali gus melanjutkan penantian mereka untuk menjulang gelaran yang kali terakhir dimenangi pada 2015.

Mengulas lanjut, De Jong berkata dia bertekad untuk memburu kesebelasan utama Barca terlebih dulu dan membantu juara Sepanyol itu di pentas Eropah.

“Saya mahu disenarai dalam kesebelasan utama bagi semua perlawanan. Semua pemain mengingininya. Saya akan bekerja keras seperti saya lakukan ketika latihan untuk membuktikan apa yang saya boleh lakukan dalam perlawanan,” katanya.  - AGENSI

Berita Harian X