Jumaat, 12 Julai 2019 | 9:57am
LUCA Zidane. - Foto EPA

Anak Zidane sertai Racing Santander

MADRID: Luca Zidane dijangka berpisah sementara dengan Real Madrid bagi meningkatkan perkembangannya apabila bakal menyertai Racing Santander secara pinjaman selama satu musim.

Penjaga gol berusia 21 tahun itu dipinjamkan selepas dia gagal menempatkan diri sebagai penjaga gawang utama Real kendalian ayahnya, Zinedine Zidane.

Dengan perkembangan itu, Thibaut Courtois dan Keylor Navas kini bersaing sesama sendiri untuk merebut tempat utama di Santiago Bernabeu, sambil menyaksikan seorang lagi penjaga gol berkelayakan, Andriy Lunin kembali ke Real selepas semusim dipinjamkan kepada Leganes.

Kelab Racing Santander akan beraksi dalam liga kedua Sepanyol selepas dinaikkan pangkat musim lalu tatkala Luca Zidane teruja menggilap bakatnya di sana.

"Saya mahu meningkatkan kematangan sebagai pemain bola sepak di kelab bersejarah itu," kata Luca Zidane.

"Saya sangat gembira memulakan cabaran baru dalam hidup ini di sana.

"Bagus untuk saya berpisah sementara dengan Real Madrid dan kehidupan di Kota Madrid, membolehkan saya mencari makna di tempat baru dengan pasukan berbeza.

"Saya setiap hari akan berusaha memajukan diri, bekerja keras dan saya rasa Racing adalah kelab yang sesuai untuk saya memulakan langkah itu.”

Musim lalu, Luca Zidane pernah tampil sebagai penjaga gol utama ketika membantu kejayaan Real merakam kemenangan 3-2 ke atas Huesca dalam La Liga pada Mac. – Agensi 

Berita Harian X