Sabtu, 13 Julai 2019 | 11:15pm
Pemain Kuala Lumpur, Mohamad Azmi Muslim diasak pemain JDT, Diogo Luis Santo pada aksi perlawanan bola sepak Liga Super diantara Kuala Lumpu menentang JDT di Stadium Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KL masih `bernyawa' biarpun dibenam JDT

KUALA LUMPUR: Pasukan Kuala Lumpur (KL) tewas 0-4 kepada kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, malam tadi.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menutup peluang skuad ibu kota untuk terus kekal dalam saingan liga sama musim depan selepas dua lagi pasukan tercorot, PKNP dan FC FELDA United terikat 1-1 di Manjung, malam tadi.

KL kini tiada pilihan lain kecuali memastikan kemenangan pada aksi terakhir menentang Perak, 21 Julai ini.


Pemain Kuala Lumpur, Mohd Firdaus Mohd Faudzi mengasak pemain JDT, Diogo Luis Santo pada aksi perlawanan bola sepak Liga Super diantara Kuala Lumpu menentang JDT di Stadium Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Bagaimanapun keputusan menentang JDT itu adalah kekalahan keenam skuad ibu kota sejak kali terakhir mengecap kemenangan ketika menumpaskan PKNP FC 4-1 26 Mei lalu.

Terdahulu, ketika tuan rumah cuba memburu jaringan pembukaan, JDT lebih bernasib baik meraih gol pertama menerusi Gonzalo Cabrera pada minit ke-15.

Walaupun masih mampu mengatur serangan, tuah nyata tidak memihak kepada tuan rumah. Namun pada minit ke-28, berpunca daripada kesilapan benteng tuan rumah melakukan perangkap offsaid untuk membuka peluang kepada Diogo Santo menambah gol kedua skuad Harimau Selatan.

Pada minit ke-54, bekas penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani mempersiakan peluang terbuka selepas rembatan menuju tepat kepada penjaga gol lawan, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Seterusnya, JDT lebih menguasai permainan dan hasilnya giliran Naz Faiz Mansor melakar nama selaku penjaring pada minit ke-61 sekali gus meletakkan tuan rumah makin tertekan.

Selepas sembilan minit, Diogo membuktikan nilainya cukup berharga buat JDT apabila menambah akaun jaringan peribadinya untuk meletakkan kedudukan 4-0.

Pada minit ke-80, Guilherme De Paula terus dihimpit kecewa kali ini tampanannya dalam kotak penalti melambung tinggi sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah JDT dalam saingan Liga Super musim ini.


Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Marzuki Sulong (dua dari kanan) dan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Md Ikhsan (kiri) menyampaikan anugerah MFL 100 Plus kepada Pemain Kuala Lumpur, Indra Putra Mahyuddin sempena 100 jaringan gol pada saingan Liga Super diantara Kuala Lumpur menentang JDT di Stadium Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Berita Harian X