Ahad, 14 Julai 2019 | 8:38pm
Neymar berhasrat mengangkat kakinya keluar dari Parc des Princes dengan destinasi pilihannya adalah Barca. - Foto AFP

Neymar terus 'serang' PSG

PARIS: Neymar melancarkan satu lagi ‘serangan’ dalam usahanya dilepaskan Paris Saint-Germain (PSG) selepas menyatakan memori paling indahnya dalam bola sepak adalah kebangkitan hebat Barcelona terhadap PSG pada 2017.

Penyerang sensasi Brazil itu masih menyarung jersi kelab gergasi Catalan itu pada perlawanan berkenaan.

Ketika ditanya siaran sukan online Oh My Goal mengenai memori paling hebatnya di bilik persalinan, pemain termahal dunia itu memilih situasi selepas kemenangan menakjubkan itu.

“Kami semua seperti hilang akal selepas itu. Saya fikir ia adalah perasaan paling hebat untuk kami semua,” kata Neymar. “Apa yang kami rasa apabila kami menjaringkan gol keenam adalah sesuatu yang tidak pernah saya rasai sebelum ini, ia menakjubkan.”

Neymar menyatakan perkara berkenaan di Sao Paulo sebelum membuat kepulangan semula ke Paris, esok selepas menegaskan ‘kelewatannya’ untuk pulang dari Brazil sudah dipersetujui PSG bagi membantu yayasan miliknya, Institut Neymar.

Begitupun, komen berkenaan menambah ketegangan hubungannya dengan juara Perancis itu.

Neymar berhasrat mengangkat kakinya keluar dari Parc des Princes dengan destinasi pilihannya adalah Barca tetapi situasi itu tampak sukar susulan harga tinggi yang dibayar PSG bagi mendapatkannya dua tahun lalu.

Peluangnya untuk kembali ke Barca bertambah rumit dengan kehadiran penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann ke Nou Camp dengan Neymar sebelum ini memuat naik video dia memakai jersi juara Sepanyol itu, semalam.

Pada 2017, Barcelona mencatat kemenangan bergaya 6-1 pada aksi kedua peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara di Paris sekali pun tewas 0-4 pada aksi pertama di Sepanyol.

Neymar meledak dua gol pada minit ke-88 dan 91 pada perlawanan berkenaan sebelum membuat umpanan terhadap gol keenam dan kemenangan yang dijaringkan Sergi Roberto. - AFP

Berita Harian X