Selasa, 16 Julai 2019 | 6:35pm
PENGURUS skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang. - Foto Owee Ah Chun

Tok Gajah tagih kekuatan jentera tengah

KUANTAN: Persembahan mantap di bahagian tengah terus ditagih Pahang apabila skuad itu melayan kunjungan FELDA United pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam esok.  

Gandingan Nor Azam Azih, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Saddil Ramdani dan Zuhair Aizat Mohd Nazri tampil dengan aksi kemas ketika Tok Gajah menang 3-2 ke atas PKNS FC dan seri 1-1 berdepan Terengganu FC (TFC) apabila membantu pasukan mencipta gol.

Justeru, pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata dia mahu mereka mempamerkan prestasi lebih bagus untuk memastikan kemenangan buat pasukan.

"Kita dapat lihat apabila Kecik (Wan Zaharulnizam) mengambil alih peranan Safuwan Baharudin, dia dapat membantu jentera serangan, terutamanya ketika berdepan TFC Sabtu lalu.  

"Begitu juga Nor Azam serta Saddil dan Zuhair Aizat juga mampu memberi ancaman kepada TFC dan tidak terkecuali berdepan FELDA United, sumbangan mereka amat diharapkan," katanya.  

Namun, Mohammed Suffian mengingatkan skuad itu tidak memandang mudah keupayaan The Fighters dijangka memberi saingan sengit. 

"Saya harap pemain dapat bermain bagus kerana kemenangan akan mengesahkan status sebagai naib juara Liga Super musim ini," katanya.  

Pada perlawanan malam esok, skuad kendalian Dollah Salleh dijangka mengekalkan barisan pemain sama yang beraksi di Kuala Terengganu, Sabtu lalu. 

Ini berikutan penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme masih belum cergas selepas baru pulih daripada kecederaan manakala Safuwan digantung perlawanan.

Berita Harian X