Rabu, 17 Julai 2019 | 2:21pm
LUCIANO Figueroa
LUCIANO Figueroa

Figueroa tidak panik tewas pertama kali

JOHOR BAHRU: Walaupun misi mengekalkan rekod tanpa kalah pada musim ini menemui kegagalan, namun pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa tidak panik sebaliknya masih mampu berbangga selepas  pasukan itu berjaya merangkul kejuaraan Liga Super enam musim berturut-turut.

Figueroa mengakui agak kecewa dengan persembahan barisan pemain skuad Harimau Selatan yang terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 kepada Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Apapun beliau enggan pemain JDT patah hati dengan kekalahan pertama itu sebaliknya mahu mereka berbangga dengan kejayaan selaku juara liga enam musim berturut-turut dan akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dua musim berturut-turut yang merupakan pencapaian terbaik yang belum pernah dilakukan mana-mana pasukan pada kancah Liga Malaysia (Liga M).

"Kecewa tetap kecewa kerana kita tewas dalam perlawanan itu meskipun beraksi di laman sendiri. Apapun itu bukanlah titik noktah. Ia bagaikan amaran supaya kita tidak lagi leka dan harus mengekalkan momentum dengan aksi yang lebih konsisten.

"Kami turun dalam aksi itu bukan untuk tewas. Tapi itulah bola sepak ada ketika kita menang dan ada ketika kita tewas dan ia terjadi kepada kami. Perkara sudah berlalu dan saya tetap bangga dengan komitmen setiap pemain yang membawa kejayaan menjuarai liga enam musim berturut-turut.

"Saya tidak gemar dengan cara permainan yang dipamerkan pemain JDT apabila serba tidak menjadi. Kami kena bangkit dan perbaiki apa jua kesilapan kerana aksi terakhir menentang Terengganu, Jumaat ini amat penting kerana kami akan menjulang piala liga," katanya.

Figueroa juga menegaskan JDT tidak beraksi seperti yang sering ditampilkan menyaksikan PJ City FC mengambil kesempatan daripada kelonggaran itu untuk mencipta kemenangan menerusi gol tunggal perlawanan.

Tambahnya, corak permainan PJ City FC yang mengamal permainan bertahan apabila empat pemain di posisi tengah dan lima pemain mereka beraksi di pertahanan menyukarkan barisan serangan JDT melakukan gerakan berbahaya dan sering disekat anak didik K Devan.

Beliau juga tidak menafikan kelibat Safawi Rasid kurang menyerlah dalam perlawanan itu dan enggan menyalahkan pemain itu yang baru sahaja sihat daripada serangan wabak influenza malah menganggap ia bukan malam Safawi.

"Safawi tampak keletihan kerana dia baru pulih selepas kurang sihat baru-baru ini. Ia boleh berlaku bukan sahaja kepada Safawi tetapi pemain lain juga dan saya tahu dia sudah beri yang terbaik dan percaya dia akan bangkit dalam aksi menentang Terengganu, Jumaat ini," kata Figueroa.

Berita Harian X