Sabtu, 20 Julai 2019 | 1:02pm
KETUA jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak

Kedah tetap baris kesebelasan terbaik - Aidil

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak tetap menjadikan misi memburu tiga mata sebagai keutamaannya pada perlawanan terakhir Liga Super menentang FELDA United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, esok.

 

Aidil berkata, dia tetap akan membarisi skuad terbaiknya bagi menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga walaupun dalam masa yang sama sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi perlawanan akhir Piala FA, hujung bulan ini. 

"Saya tidak merancang untuk menyenaraikan skuad kedua, malah saya mahu barisan terbaik untuk aksi penting di Jengka bagi mengutip tiga mata dan melengkapkan saingan Liga Super di tempat ketiga.

"Memang persiapan ke final juga penting kerana kita tidak mahu pemain mendapat kecederaan namun perlawanan terakhir ini juga turut mustahak.

"Tambahan lagi saya tidak mahu menghampakan penyokong yang bersusah payah datang memberi sokongan dari jauh tanpa menyaksikan aksi daripada pemain terbaik yang Kedah miliki,” kata Aidil.

Dalam pada itu, Aidil mahu pemainnya lebih waspada dengan percaturan skuad The Fighters yang akan menjadikan perlawanan menentang Kedah sebagai 'talian hayat' untuk mengelak zon penyingkiran.

"Kita tidak boleh rasa selasa selepas mengutip kemenangan 4-2 dengan Perak sebelum ini kerana FELDA pasti turun dengan semangat lebih tinggi mahukan kemenangan untuk mengelak mereka tersingkir.

"Malah kita perlu gandakan kekuatan untuk pastikan kemenangan yang dapat mengekalkan kita pada tempat ketiga liga seterusnya menyuntik motivasi untuk beraksi di final Piala FA,” katanya sambil memaklumkan Kedah terpaksa melupakan khidmat pemain import dari Singapura, Shakir Hamzah yang menjalani penggantungan kad kuning menentang FELDA.

Berita Harian X