Sabtu, 20 Julai 2019 | 11:14pm
Pemain Kelantan, Nik Azli Nik Alias (depan) meraikan jaringan gol pertama ketika menentang pasukan UKM FC, pada saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. - NSTP/Syamsi Suhaimi
Pemain Kelantan, Nik Azli Nik Alias (depan) meraikan jaringan gol pertama ketika menentang pasukan UKM FC, pada saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Kelantan atasi UKM FC

 

KOTA BHARU: Kelantan dipaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan 2-0 ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) dalam aksi Liga Perdana di  Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

Terdahulu, tuan rumah seakan lebih bernafsu memburu jaringan dan minit pertama, kesilapan penjaga gol UKM, Khatul Anuar Md Jalil yang gagal mengeluarkan bola dengan baik hampir mengundang padah selepas Seydi L'Imam  berjaya melakukan sepakan leret namun sedikit tersasar.

Memasuki minit ke-18, The Red Warriors (TRW) akhirnya mendapat rentak namun percubaan menerusi Mohammad Imran Samso dan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-31  berjaya dinafikan penjaga gol pelawat.

Pada minit ke-58 pemburuan TRW berakhir apabila berlaku salah faham antara penjaga gol dan pertahanan UKM sehingga menyaksikan hantaran lintang Seydi disudahkan Nik Azli Nik Alias dengan satu rembatan deras menewaskan Khatul Anuar.

Seterusnya, UKM lebih banyak berkampung di kawasan sendiri tetapi deretan peluang dicipta TRW terus menemui jalan buntu kerana dihalang ketangkasan penjaga gol pelawat yang bijak menafikan setiap peluang terhidang tuan rumah.

TRW kemudian menambah jaringan pada minit ke-90 hasil rembatan deras Nik Akif di sebelah kanan menewaskan Khatul Anuar buat kali kedua dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat permainan.

Berita Harian X