Ahad, 21 Julai 2019 | 9:13am
Eden Hazard.

'Hazard ditakdirkan bermain di Real Madrid'

LONDON: Bekas pemain tengah Arsenal dan Chelsea, Cesc Fabregas berkata dia percaya bekas rakan sepasukannya Eden Hazard lebih sesuai menyarung jersi Real Madrid berbanding kelab yang pernah disertainya Barcelona.

Hazard menyertai kelab kendalian Zinedine Zidane pada musim panas ini dengan nilai £89 juta (RM457.31 juta) dalam usaha Los Blancos merampas kejuaraan La Liga daripada kelab Catalan itu.

Fabregas, yang menghabiskan lima tahun beraksi bersama pemain antarabangsa Belgium itu di Stamford Bridge percaya corak permainan Hazard lebih sesuai di Santiago Bernebeu berbanding Nou Camp.

“Hazard ialah pemain hebat yang membuat perbezaan,” kata Fabregas yang kini beraksi bersama Monaco. “Dia adalah pemain yang dicipta untuk bermain di Real Madrid kerana dia memerlukan banyak ruang untuk berlari, untuk mendapatkan bola dan kemudian membawanya ke depan.

“Dia gemar bergerak di seluruh padang dan kamu tidak boleh memberitahunya untuk ‘kekal di sini’. 

“Di Barcelona, sebagai contoh, ia pasukan yang mengutamakan posisi, semua orang perlu berada di posisi mereka untuk menghantar bola. Dan dia pula gemar untuk mendapat lebih kebebasan dan dia boleh memberikan banyak manfaat kepada Real berbanding Barca.”

Tidak mahu tergugat dengan seteru utamanya, Barca juga meningkatkan kekuatan di bahagian serangan dengan membawa masuk penyerang Perancis, Antoine Griezmann dari Atletico Madrid.

Tetapi bagi Fabregas, yang berada di Sepanyol bagi mengharungi pra-musim ketika ini menyifatkan perpindahan itu sebagai ‘mengejutkan’. - Agensi

Berita Harian X