Ahad, 21 Julai 2019 | 12:00pm
PENGURUS Arsenal, Unai Emery.

Emery enggan terburu-buru

CHARLOTTE, Amerika Syarikat: Pengurus Arsenal, Unai Emery mengakui gembira menggunakan pendekatan bersabar ketika jendela perpindahan dan menunggu sehingga pemain yang diingini boleh dibeli.

Emery berkata demikian selepas menyaksikan skuad kendaliannya meraih kemenangan kedua dalam kempen pra-musim Piala Juara-Juara Antarabangsa dengan menewaskan Fiorentina 3-0, hari ini.

“Benar saya bersabar kerana kami mahu memilih penyelesaian yang terbaik,” kata Emery. “Sesetengah pemain amat mahal dan kami sedang menunggu kemungkinan.

“Kami tidak mahu menyertai pasaran untuk mendapatkan skuad kedua. Kami sedang menunggu. Kami memiliki pemain yang amat bagus. Kami juga mempunyai pemain muda yang amat bagus. Kami juga sedar yang kami perlu meningkatkan sesetengah pemain dalam skuad ini.

“Saya mahu menandatangani satu, dua, tiga atau empat pemain hanya jika kamu boleh yakin yang kehadiran mereka akan meningkatkan kualiti pasukan.”

Arsenal ketika ini dikaitkan dengan William Saliba oleh media Britain dengan perjanjian yang menyaksikan pemain pertahanan itu kembali ke kelabnya, Saint-Etienne di Perancis secara pinjaman.

Emery begitupun berkata dia tidak kisah dengan khabar angin sedang berlegar dan dia sentiasa berhubung dengan Pengarah Sukan, Edu serta Ketua Bola Sepak, Raul Sanllehi dan berbincang dengan pemilik kelab, keluarga Kroenke.

“Ada begitu banyak nama. Kelab sedang berusaha. Edu amat rapat dengan saya dan Raul,” kata Emery. “Kami bercakap setiap hari.” - Reuters

Berita Harian X