Sabtu, 27 Julai 2019 | 7:43am
GARETH Bale. - Foto AFP

RM5.10 juta seminggu buat Bale di Jiangsu Suning

PARIS: Penyerang Real Madrid, Gareth Bale menurut laporan semalam, semakin hampir menandatangani perjanjian bernilai ‘£1 juta seminggu’ (RM5.10 juta) bersama pasukan Liga Super China, Jiangsu Suning.

Pemain Wales berusia 30 tahun itu sudah diberitahu oleh jurulatih Real, Zinedine Zidane bahawa dia bukan lagi sebahagian daripada perancangan masa depan gergasi Sepanyol itu.

Akhbar harian Sepanyol, Marca mendakwa Bale, yang berada di Real sejak 2013 selepas dibeli dari Tottenham, akan menerima pendapatan 22 juta euro (RM101 juta) semusim di China dan perjanjian itu semakin hampir direalisasikan.

Bagaimanapun laporan Sky Sports di England mengatakan wakil pemain itu sedang berbincang mengenai kontrak £1 juta pound seminggu (RM5.10 juta) sebelum berakhir perpindahan pemain di China Rabu ini.

Bos Real, Zidane berkata hujung minggu lalu bahawa dia merasakan adalah ‘terbaik untuk semua orang’ jika pemergian Bale dapat dilakukan secepat mungkin.

Komen berkenaan dilabelkan ejen Bale sebagai ‘tiada rasa hormat’ kepada pemain yang membantu skuad itu menang liga Sepanyol dan empat Liga Juara-Juara sejak tiba dari Tottenham enam tahun lalu.

Zidane kemudian menegaskan Isnin lalu dia tidak bermaksud begitu sebelum Bale masuk selaku pemain simpanan pada saingan pertengahan  minggu dan menang 3-2 mengatasi Arsenal di Amerika Syarikat.

“Dia melalui perlawanan yang bagus dan saya gembira buatnya,” kata Zidane. “Saya tidak tahu apa yang akan terjadi, ketika ini dia bersama kami. Ia tidak mengubah apa-apa.” - AFP

Berita Harian X