Isnin, 29 Julai 2019 | 8:53am
Pemain Arsenal, Shkodran Mustafi (kiri) diasak pemain Lyon, Moussa Dembele dalam perlawanan persahabatan di Emirates, London. - Foto Reuters
Pemain Arsenal, Shkodran Mustafi (kiri) diasak pemain Lyon, Moussa Dembele dalam perlawanan persahabatan di Emirates, London. - Foto Reuters

Lyon hampakan Arsenal

LONDON: Pemain gantian Moussa Dembele, meledak dua gol ketika Lyon bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Arsenal 2-1 pada aksi persahabatan pra-musim, semalam.

Bos Gunners, Unai Emery tidak menyenaraikan Sead Kolasinac dan Mesut Ozil dalam skuadnya selepas kedua-duanya terbabit dalam insiden cubaan merompak kenderaan, minggu lalu.

Pemain yang baharu dibeli, Dani Ceballos dan Gabriel Martinelli disenaraikan Emery di bangku simpanan yang menyaksikan Arsenal terlebih dulu di depan menerusi penyerang Pierre-Emerick Aubameyang.

Alexandre Lacazette terpaksa dikeluarkan pada awal permainan tetapi Arsenal yang menguasai babak pertama mendahului menerusi jaringan Aubameyang pada minit ke-35 berpunca daripada hantaran Henrikh Mkhitaryan.

Tetapi selepas rehat, dengan kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran, Lyon bangkit yang menyaksikan Dembele menyamakan kedudukan pada minit ke-66 sebelum menyumbat gol kemenangan pada minit ke-75.

Sebelum sepak mula, peminat membuat tepukan bagi mengingati bekas pemain Arsenal, Jose Antonio Reyes yang maut dalam kemalangan jalan raya, 1 Jun lalu. - AFP

Berita Harian X