Selasa, 6 Ogos 2019 | 10:52pm
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto BERNAMA

Jangan hanya jadi populis: Hamidin

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak merasakan isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan tempatan akan menjejaskan Peta Hala Tuju F:30 secara menyeluruh.

Walaupun mengakui permasalahan membabitkan gaji turut memberi kesan, kenyataan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) yang mengatakan F:30 tidak mampu terlaksana jika masalah hutang RM6.4 juta berterusan adalah satu tindakan populis.

"Saya di FAM mengikut lunas dan keupayaan bagi menaikkan bola sepak. F:30 ini bersifat global dan (masalah tunggakan gaji) mungkin beri sedikit kesan,” kata Hamidin.

"Tetapi untuk mengatakan sebegitu, ia mungkin terlalu jauh dan mungkin juga dia mahukan populariti.. itu saya tidak pasti. Kalau betul yang dikatakan, datang bantu dan bukan hanya jadi populis.

"Yang pasti FAM dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) sedang berusaha untuk selesaikan secepat mungkin dan sebab itu mahukan perlesenan kelan dibuat secepat mungkin."

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail mendedahkan hutang gaji kepada pemain sudah mencecah RM6.4 juta dan jumlah itu mungkin meningkat jika mengambil kira kes yang belum dilaporkan kepada mereka serta kes membabitkan pemain import.

Izham berkata sehingga kini masih tiada jaminan hutang tunggakan berkenaan akan dijelaskan dalam tempoh terdekat ini.

Ketika ditanya berkenaan pertemuan bagi menyelesaikan masalah terbabit, Hamidin berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran wakil PFAM.

"Kalau mahu bantu, datanglah. Kita terbuka untuk terima," katanya.

Berita Harian X