Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:33pm
Skuad bawah 15 (B-15) tahun negara mara ke final Kejohanan AFF B-15 selepas menundukkan Vietnam 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Kampus Chonburi, Thailand, sebentar tadi. - Foto FAM
Skuad bawah 15 (B-15) tahun negara mara ke final Kejohanan AFF B-15 selepas menundukkan Vietnam 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Kampus Chonburi, Thailand, sebentar tadi. - Foto FAM

Malaysia ke final Kejohanan AFF B-15

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 15 (B-15) tahun negara mara ke final Kejohanan AFF B-15 selepas menundukkan Vietnam 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Kampus Chonburi, Thailand, sebentar tadi.

Lebih menarik kemenangan itu diraih skuad kendalian P Maniam selepas bangkit daripada ketinggalan seawal minit kesembilan apabila Pham Van Phong meledak gol pembukaan buat Vietnam.

Hari gemilang skuad 'Harimau Muda' bermula dengan jaringan penyamaan Muhammad Nabil Qayyum yang terhasil lima minit selepas gol Van Phong.

Nabil terus membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledak gol kedua negara pada minit ke-49 selepas menggelecek beberapa pemain lawan.

Muhammad Aliff Izwan kemudian mengesahkan kemenangan Malaysia apabila meledak gol ketiga pada minit ke-78.

Lawan skuad negara di final yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini hanya akan ditentukan malam ini apabila tuan rumah Thailand turun menentang Indonesia dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Selain mara ke final, skuad muda negara berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan selepas menang tiga kali dan seri dua kali dalam saingan peringkat Kumpulan B.

Untuk rekod, Malaysia pernah muncul juara kejohanan itu pada 2013 selepas menumpaskan Indonesia 3-2 menerusi penentuan penalti.

Berita Harian X