Jumaat, 9 Ogos 2019 | 12:33pm
LIM Teong Kim

MSN sudah ada calon ganti Teong Kim

OKAYAMA: Siapakah yang bakal mengambil alih tugas Lim Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD)?

Itu persoalan yang timbul selepas kontrak bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich yang sudah enam tahun mengendalikan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dikatakan tidak akan dilanjutkan sekali gus bakal berakhir Oktober ini.

Majlis Sukan Negara (MSN) selaku salah satu agensi pengendali program itu tampak sudahpun memiliki calon untuk menggantikan tempat Teong Kim dengan individu terbabit sudah tentu memiliki kaliber dan potensi untuk meneruskan NFDP selepas ini.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin mengesahkan beberapa calon berpotensi sudah dikenalpasti untuk mengisi jawatan penting itu dengan beberapa perubahan khususnya membabitkan jawatan Pengarah Teknikal NFDP mungkin dilakukan bagi memantapkan lagi pengurusan program pembangunan itu.

Bagaimanapun, Jefri mengambil pendekatan untuk ‘mengunci mulut’ mengenai identiti individu yang bakal menggantikan Teong Kim apabila pengumuman rasmi berhubung perkara itu hanya akan dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam masa terdekat.

“Kita sudah berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MSN. Pengumuman rasmi akan dibuat oleh menteri sendiri nanti.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan, ia adalah satu berita baik di mana perkembangan ini di dapat memberi penambahbaikan daripada struktur yang ada sekarang. Ia kombinasi antara tempatan dan import.

“Perubahan ini cukup penting di mana kita akan laksanakan dan lengkapkan apa yang FAM sudah lakukan dengan Peta Hala Tuju F:30 dan kita akan bekerjasama dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan sesi latihan Fagiano Okayama di Padang Latihan Masada, Okayama, semalam.

Terdahulu, kedudukan Teong Kim dipersoalkan susulan kegagalan skuad Bawah 16 tahun (B-16) yang ditunjangi produk NFDP mara ke pusingan akhir Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) di Brazil, tahun ini.

Bagaimanapun, FAM pada Februari lalu memutuskan untuk menilai semula kontrak Teong Kim untuk mengekalkannya sehingga Piala Dunia 2030.

Berita Harian X