Sabtu, 10 Ogos 2019 | 8:56am
Pemain Olympique Lyonnais, Moussa Dembele (kiri) mengatasi pemain AS Monaco, Jonathan Panzo pada perlawanan Ligue 1, pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain Olympique Lyonnais, Moussa Dembele (kiri) mengatasi pemain AS Monaco, Jonathan Panzo pada perlawanan Ligue 1, pagi tadi. - Foto REUTERS

Lyon mudah ratah Monaco

MONACO: Olympique Lyonnais (Lyon) yang dibimbing bekas pertahanan kebangsaan Brazil, Sylvinho memulakan musim baru Liga Perancis dengan cemerlang apabila membelasah AS Monaco 3-0 yang beraksi 10 pemain pagi tadi.

Monaco terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas hilang khidmat pemain berpengalaman Cesc Fabregas yang dilayangkan kad merah pada minit ke-30 susulan mengasari Leo Dubois selepas membentes kaki lawannya itu.

Pengadil perlawanan, Ruddy Buquet mengarahkan Fabregas meninggalkan padang selepas merujuk insiden itu menerusi VAR.

Moussa Dembele memastikan Lyon di depan seawal minit kelima dan Memphis Depay menambah jaringan pada minit ke-36.

Pemain tengah, Lucas Tousart menyumbat gol ketiga pada minit ke-80 yang tampak gemuruh tanpa kehadiran bekas kapten, Radamel Falcao yang dilaporkan akan meninggalkan Monaco menjeang tarikh tutup jendela perpindahan 2 September ini.

“Saya sudah katakan bahawa tiga atau empat perlawanan awal minggu ini akan sukar dan Monaco adalah lawan yang sukar, tapi saya puas hati dengan keputusan ini,” kata Sylvinho kepada stesen Canal+

“Saya harap pemain dapat beraksi seperti ini, memang akan ada peningkatan dilakukan tapi saya gembira,” katanya. – AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X