Sabtu, 10 Ogos 2019 | 12:22pm
Gambar fail, pemain Arsenal, Mesut Ozil (kanan) meraikan jaringan golnya bersama rakan sepasukan Sead Kolasinac ketika menentang Crystal Palace pada Liga Perdana Inggeris, April lalu.
Gambar fail, pemain Arsenal, Mesut Ozil (kanan) meraikan jaringan golnya bersama rakan sepasukan Sead Kolasinac ketika menentang Crystal Palace pada Liga Perdana Inggeris, April lalu.

Ozil, Kolasinac diketepikan demi keselamatan

LONDON: Mesut Ozil dan Sead Kolasinac tidak dapat diturunkan ketika Arsenal berdepan Newcastle pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) esok atas faktor keselamatan.

Dua pemain Arsenal itu direhatkan pada perlawanan itu susulan masih membantu polis dalam siasatan ke atas kes cubaan samun kenderaan bulan lalu.

Rakaman video insiden itu menunjukkan Kolasinac menyergah dan menghalang dua penyerang yang menahan kereta yang dipandu Ozil, sehari sebelum Arsenal berdepan Lyon di Stadium Emirates.

Mereka berdua juga diketepikan ketika perlawanan persahabatan menentang Angers, yang menyaksikan pengurusnya, Unai Emery menyatakan dua pemain itu belum bersedia dari segi mental untuk beraksi susulan insiden itu.

Bagaimanapun, Ozil dan Kolasinac kembali ketika perlawanan merebut Trofi Joan Gamper yang menyaksikan mereka tunduk 1-2 di tangan Barcelona, Ahad lalu.

Minggu ini, mereka berdua sekali lagi terlepas peluang aksi pertama atas faktor ‘keselamatan’.

Arsenal mengeluarkan kenyataan yang menyebut: "Mesut Ozil dan Sead Kolasinac tidak akan disenaraikan dalam skuad menentang Newcastle United susulan langkah keselamatan akibat insiden yang masih dalam siasatan polis.

"Kebajikan ke atas pemain dan keluarga mereka menjadi keutamaan kami dan keputusan ini diambil selepas mengadakan perbincangan dengan pemain dan wakil mereka.

"Kami bekerjasama dengan polis dan sentiasa memberikan sokongan kepada pemain dan keluarganya secara berterusan.

"Kami mengalu-alukan penyertaan semula mereka ke pangkuan skuad ini seberapa segera.” – Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X