Ahad, 11 Ogos 2019 | 10:54pm
Pengarah Teknikal AMD, Lim Teong Kim. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pemain mahu selamatkan Teong Kim

 

OSAKA, Jepun: “Jangan biarkan Lim Teong Kim balik ke Munich!”

Itu harapan dua pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Raja Muhammad Haikarl Raja Muhammad Zahari dan Muhammad Danial Haiqal Mohd Shaipol yang jelas mahukan Pengarah Teknikal AMD itu supaya terus menerajui akademi elit itu susulan kontraknya bakal berakhir, Oktober ini.

Malah, mereka turut menyifatkan kehilangan Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal AMD adalah satu kerugian terutama selepas melihat kaliber dan reputasi jurulatih yang sebelum ini pernah menaikkan bintang ternama dunia seperti Thomas Muller, Toni Kroos dan Phillip Lahm.

Raja Muhammad Haikarl menegaskan betapa dia menyokong sekiranya Teong Kim terus diberi kepercayaan untuk mengemudi AMD kerana dia sememangnya individu yang tepat untuk meningkatkan pembangunan bola sepak di akar umbi.

“Saya harap dia dapat kekal di sini kerana banyak idea disumbangkan olehnya. Ramai yang mengatakan Teong Kim adalah jurulatih garang namun apa yang diajar olehnya adalah perkara betul dalam bola sepak.

“Malah, dia membawa budaya Eropah kepada kami khususnya menerusi disiplin ketika berada di atas padang. Itulah yang kami praktikkan dan kami memang banyak belajar daripadanya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Danial mendedahkan Teong Kim seakan memiliki ‘magis’ selepas sesi latihan dan pelbagai ilmu diberikan mudah difahami oleh pemain di akademi itu.

“Bagi saya, taktikal diterapkan Teong Kim sangat bagus dan kami cepat memahami apa yang diajar olehnya walaupun nampak agak sukar pada mulanya.

“Kalau boleh, sudah tentu saya mahu kontraknya disambung. Malah, dia banyak membantu saya dengan teknik untuk menjadi penyerang yang baik,” katanya.

Sebagai rekod, dua pemain AMD itu adalah antara lima pemain bawah 15 tahun (B-15) yang mewakili negara ke Projek Impian ASEAN (ADP) 2019 di Osaka.

Tiga lagi pemain adalah Muhamad Afiq Norizan (Sekolah Sukan Negeri Melaka); Muhammad Farizzudin Adham Batcha (Sekolah Sukan Negeri Selangor) serta Anas Nadawi Shaharudin (SMK Bandar Baru Bangi).

Berita Harian X