Khamis, 15 Ogos 2019 | 6:57pm
AIDIL Sharin Sahak

Bukan tugas mudah di Shah Alam

 

ALOR SETAR: Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menganggap pertemuan ketiga dalam Kumpulan A Piala Malaysia menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam esok bukan aksi mudah buat skuad kendaliannya. 

Kemenangan dicapai PKNS FC yang dikendalikan Datuk K Rajagobal ke atas Negeri Sembilan sebelum ini pasti meningkatkan semangat seterusnya mencetuskan saingan lebih sengit untuk kedua-dua pasukan di Shah Alam nanti.

"Kami tahu motivasi mereka (PKNS) sudah meningkat, namun dalam menghadapi cabaran itu, saya mahu semua pemain supaya memberi tumpuan 100 peratus dalam misi mendapatkan tiga mata kali ini selepas kecewa menentang Terengganu FC 8 Ogos lalu.

"Saya mahu pemain manfaatkan segala peluang yang ada dan beri fokus terhadap corak permainan seperti ditunjukkan sebelum ini.

"Perlawanan menentang PKNS FC ini tidak semudah disangka dan kami perlu lebih berdisiplin dan pada masa sama lebih berhati-hati supaya tidak melakukan kesilapan yang boleh merugikan pasukan.

"Semua pemain perlu bangkit dengan semangat baharu memburu tiga mata yang sangat kita perlukan dalam perlawanan ketiga ini,” katanya.

Aidil yang juga sudah menegur jentera serangannya supaya meningkatkan ketajaman, mengakui skuad Lang Merah harus tampil dengan lebih tajam dari perlawanan sebelum ini serta tidak boleh lagi mensia-siakan peluang.

 

 

Berita Harian X