Khamis, 15 Ogos 2019 | 7:07pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman di antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) dan Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Tony janji jadikan padang SNBJ terbaik Asia

BUKIT JALIL: Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes memberi jaminan isu padang tidak berkualiti di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak akan berulang pada masa akan datang.

Sebaliknya Tony bertegas padang stadium berkenaan akan muncul yang terbaik di Asia.

Tony berkata, stadium berkenaan yang akan dijadikan sebagai 'Rumah Harimau Malaya' tidak hanya tertumpu kepada penambahbaikkan padang sebaliknya akan dikomersialkan bagi menghidupkan venue berkenaan dengan membina Muzium Harimau Malaya dan juga kedai rasmi Harimau Malaya.

“Sebenarnya tidaklah terlalu teruk dan kita akan terus berusaha menjadikannya semakin baik. Tetapi ia pasti akan ambil masa yang lama.

“Kami akan pantau kualiti dan akan melihat kepada padang di negara jiran kita yang cuaca sama dengan kita.

"Janji saya adalah jadikan padang ini yang terbaik di Asia. Jangan gelak, ini saya serius," katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Antara FAM dan PSM di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Hadir sama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal; Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Perjanjian dimeterai antara FAM dan PSM itu akan menyaksikan semua perlawanan tempat sendiri  Harimau Malaya sepanjang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala Suzuki AFF 2020 akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Di negara ini ada universiti seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) yang boleh bantu dengan khidmat nasihat penjagaan padang," katanya mengulas ketika ditanya mengenai rancangan ke arah mendapatkan padang terbaik.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata soal padang bukan isu perlu dibangkitkan kerana ia bukan alasan untuk pemain tidak beraksi baik.

"Soal padang kita tidak boleh dijadikan alasan. Kami tetapi kena bermain walau bagaimana sekali pun keadaan padang.

"Contohnya, jika kita bermain di luar negara yang memiliki padang teruk, kami tetap kena bermain dan cuba tampil aksi terbaik," katanya.

Berita Harian X