Sabtu, 17 Ogos 2019 | 8:46am
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (kanan) bersaing dengan pertahanan Hertha Berlin, Niklas Stark pada aksi sulung Bundesliga, awal pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (kanan) bersaing dengan pertahanan Hertha Berlin, Niklas Stark pada aksi sulung Bundesliga, awal pagi tadi. - Foto AFP

Bayern nyaris diaib Hertha

BERLIN: Dua gol jaringan Robert Lewandowski tidak cukup untuk memberikan tiga mata buat Bayern Munich pada aksi sulung Bundesliga musim ini apabila juara Jerman itu diikat 2-2 di laman sendiri oleh Hertha Berlin.

Lewandowski menegaskan Hertha bernasib baik selepas dia menyelamatkan satu mata buat Bayern dengan penalti di babak kedua.

Hertha, yang menamatkan saingan di tangga ke-11 musim lalu, memadamkan kelebihan gol pembukaan Lewandowski dengan dua gol di babak pertama, sekali gus memberi tamparan hebat kepada kempen mempertahankan kejuaraan Bayern.

“Kami tidak bermain dengan teruk, dan mereka jarang mendapat peluang. Mereka bernasib baik,” kata Lewandowski.

“Ia bukan permulaan buruk untuk musim ini. Kami pasukan yang lebih baik dan sepatutnya menang,” kata pengendali Bayern Niko Kovac.

 

Walaupun memenangi dua kejuaraan domestik musim lalu, Bayern memulakan kempen kali ini dengan tekanan apabila tewas 2-0 kepada Borussia Dortmund dalam aksi Piala Super Jerman dua minggu lalu.

Selepas jaringan Lewandowski pada minit ke-24, Hertha menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi rembatan jarak jauh Dodi Lukebakio yang terkena Vedad Ibisevic dan membuatkan penjaga gol Manuel Neuer tersalah langkah.

Tiga minit kemudian Hertha mendahului permainan menerusi Marko Grujic yang kemudian menjadi punca kepada penalti Lewandowski di babak kedua. – AFP

Berita Harian X