Sabtu, 17 Ogos 2019 | 1:36pm
Pemain JDT, Corbin Ong menanduk bola ketika menentang PKNP FC pada saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. - Foto Effendy Rashid

Taktikal PKNP perangkap JDT

MANJUNG: Tindakan pengendali PKNP FC Abu Bakar Fadzim menukar formasi di bahagian pertahanan PKNP FC berjaya menyekat kemaraan Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada terus menambah jaringan dan sekadar seri 2-2 dalam aksi Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. 

Menurut Abu Bakar, formasi 5-3-2 yang digunakan pada mulanya dilihat tidak menjadi sehingga mereka ketinggalan dua gol di awal permainan biarpun bahagian pertahanan dikawal ketat.

"Saya terpaksa menukar formasi kerana kita tidak boleh bertahan sepanjang masa,” kata Abu Bakar selepas tamat perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini, malam tadi. 

 “Pada mulanya saya menggunakan formasi 5-3-2 kerana kita melihat daripada segi kesukaran mengekang asakan pihak lawan, namun pada minit ke-30 kita menukar formasi kepada 4-5-1 apabila ketinggalan 2-0. 

“Formasi itu berjaya membuahkan hasil sekali gus memberi tekanan pada bahagian tengah JDT dan mengunci pemain tengah iaitu kapten mereka, Harris Harun dan kita berjaya menghasilkan dua gol.”

Menurutnya, karakter dan momentum anak buahnya juga dilihat tersekat pada awal permainan namun kagum dengan semangat pemainnya yang bangkit berjuang apabila berjaya menyamakan kedudukan sekali gus mencuri satu mata pada saingan itu. 

"Saya harap kita dapat meneruskan (permainan yang baik), kita akan bermain di JDT (Larkin) dan (pastinya) mereka akan 'post mortem' semula jadi saya harap pemain bersedia dan yakin kita boleh buat sesuatu," katanya. 

Sementara itu, pengendali JDT Benjamin Mora mengakui jaringan penalti PKNP memberi kesan kepada semangat anak buahnya yang cuba bangkit di babak kedua memburu gol kemenangan.

“Mungkin (jaringan gol penalti PKNP) menjadi salah satu sebab (momentum pemain JDT menurun). Penalti terjadi di akhir separuh masa pertama namun kita memperbaiki permainan pada separuh masa kedua, berjaya memiliki bola dan memperkemaskan posesi pemain tetapi kita masih tidak berjaya menghasilkan gol tambahan,” kata Mora.

“Kita perlu memperbaiki (permainan) dan saya rasa satu mata di tempat lawan bukanlah teruk kerana ia bukan satu perlawanan yang mudah. Kita akan cuba memperbaiki situasi ini untuk menang perlawanan di Larkin nanti.”

Berita Harian X